Berita

Sejumlah 59 Emoji Baharu Bakal Tiba Dalam Kemas Kini iOS 13


Apple hari ini telah memperkenalkan emoji baharu sempena Hari Emoji Sedunia. Sejumlah 59 emoji baharu tersebut dilancarkan di bawah Unicode 12 yang membawakan 75 variasi jantina dan sejumlah 230 emoji sepenuhnya dengan variasi jantina dan pengubahan warna kulit yang dikirakan sekali.

Emoji binatang seperti Orangutan, memerang, sloth, skunk, dan flamingo ialah yang terdapat dalam senarai emoji tersebut, manakala emoji makanan ialah seperti bawang putih, bawang, mentega, tiram, dan waffle.

Terdapat juga emoji manusia dengan riak wajah seperti menguap dan gaya badan seperti tangan mencubit, berlutut, berdiri dan beberapa pilihan emoji manusia berpegangan tangan berdasarkan warna kulit, dan jantina. Emoji pelbagai yang lain seperti kuil Hindu, pakaian sari, payung terjun, yo-yo, layang-layang, kasut balet, kerusi, kapak, stetoskop, topeng penyelam serta emoji yang lain terdapat dalam senarai tersebut.

Selain itu, emoji untuk menggambarkan orang kurang upaya (OKU) juga diperkenalkan. Emoji seperti telinga dengan alat bantuan pendengaran, anjing pemandu, tangan dan kaki mekanikal, manusia dengan tongkat bantuan berjalan, dan manusia menaiki kerusi roda.

Namun begitu, senarai emoji baharu tidak akan diperkenalkan semasa pelancaran iOS 13 kelak. Kebiasaannya, Apple akan memasukkan kesemua emoji ini dalam kemas kini iOS 13.1 akan datang seperti mana versi iOS 11.1 dan iOS 12.1 sebelum ini.

Senarai penuh emoji di bawah Unicode 12 disenaraikan pada laman Emojipedia.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen