iCloud

Activation Lock: Curi Atau Lupa Apple ID?

Penggunaan sistem sekuriti adalah amat penting pada zaman kini, apatah lagi peranti kecil seperti telefon pintar yang mempunyai pelbagai maklumat disimpan oleh pemilik. Ini juga bagi mengelakkan daripada peranti tersebut dicuri dan dijual semula melalui pasaran gelap. Bagi peranti iOS, watchOS dan yang terbaru macOS, Apple telah mengimplementasikan sistem sekatan sekuriti yang dinamakan sebagai “Activation Lock”. Sistem Activation Lock ini mula diperkenalkan dan digunakan pada iOS 7 melalui servis Find My iPhone yang diperkenalkan pada iOS 4 dahulu.

Lanjutannya, sistem Activation Lock ini berada di bawah servis Find My iPhone yang boleh diaktifkan melalui iCloud menggunakan Apple ID. Setiap butiran mengenai peranti yang diaktifkan servis Find My iPhone menggunakan Apple ID akan disimpan pada pelayan pengaktifkan Apple. Dengan ini boleh mengelakkan daripada peranti disetkan semula oleh orang lain yang menjumpainya tanpa pengetahuan dan kebenaran anda. Sistem Activation Lock diaktifkan secara automatik apabila servis Find My iPhone diaktifkan pada peranti anda.

Namun, masih terdapat pengguna yang menyalahtafsirkan maksud Activation Lock ini. Tidak semua pengguna mengetahui maksud Activation Lock ini seperti pengguna yang ingin beralih dan menggunakan produk Apple. Rata-rata mereka adalah mangsa penipuan yang membeli peranti terpakai yang dicuri dan mempunyai Activation Lock ataupun bekas pemilik yang terlupa Apple ID dan kata laluan.

Maksud dan bagaimana sistem Activation Lock diaktifkan

Activation Lock ini mempunyai dua maksud dan dua cara pengaktifan yang berbeza. Sistem Activation Lock boleh diaktifkan pada iPhone, iPad dan iPod touch yang menggunakan dari iOS 7 hingga terkini serta pada Apple Watch yang menggunakan dari watchOS 2 hingga terkini. Bagi komputer Mac, iMac Pro, Mac Pro baharu dan kesemua variasi MacBook yang diperkenalkan bermula dari tahun 2018 dan ke atas yang mempunyai cip keselamatan T2 dan menggunakan macOS Catalina sahaja yang boleh diaktifkan Activation Lock.

1. Activation Lock – Lost Mode

Setiap peranti yang hilang atau dicuri boleh diaktifkan sistem Activation Lock melalui servis Find My iPhone/iPad/iPod/Watch/Mac. Cara ini akan memasukkan peranti dalam keadaan Lost Mode. Lost Mode ini mempunyai dua keadaan iaitu peranti anda dikunci dengan dengan kod laluan dengan memaparkan mesej dan nombor telefon anda untuk dihubungi bagi proses pemulangan semula peranti kepada sesiapa yang menjumpainya.

This iPhone was lost and erased. Enter the Apple ID and password that were used to set up this iPhone.

Keadaan kedua ialah peranti anda akan memaparkan teks yang menerangkan peranti ini telah hilang dan kesemua maklumat dipadamkan. Bahagian ini akan muncul jika anda mengaktifkan mod ‘Erase Device’. Teks penerangan dan sistem Activation Lock masih lagi dipaparkan dan aktif pada peranti tersebut. Ini membuatkan proses pengaktifan tidak boleh dilakukan tanpa akaun Apple ID dan kata laluan pemilik asal.

2. Activation Lock – Apple ID

Bagi terma “Apple ID” untuk Activation Lock ini ialah secara khususnya bagi kes seperti:

  • membeli peranti terpakai yang berfungsi sepenuhnya dan masih dikaitkan dengan Apple ID bekas pemilik (termasuklah yang dicuri/dijumpai dan dijual semula)
  • pemilik terlupa Apple ID/e-mel atau kata laluan yang digunakan pada peranti tersebut
  • peranti yang rosak samada diberi atau dijual dan dibaiki semula tetapi tidak dikeluarkan daripada Apple ID
  • peranti refurbished yang mempunyai iCloud separa nyahaktif dan masih dikaitkan dengan Apple ID pemilik asal
  • Find My iPhone/iPad/iPod/Mac yang tidak dinyahaktifkan dan terus membuat mengeset semula pada iTunes

Kes seperti ini kebiasaannya terjadi di kalangan pengguna yang baru sahaja menggunakan produk Apple. Seperti contoh, ada pengguna yang melakukan mengeset semula tanpa menyahaktifkan servis Find My iPhone atau tidak mendaftar keluar Apple ID kerana ingin menghilangkan maklumat pemilik asal yang masih terdapat di dalam peranti. Dengan ini, Activation Lock akan diaktifkan dan tersekat pada halaman Activation Lock yang meminta untuk memasukkan Apple ID bekas pemilik.

Ramai yang berpendapat bahawa dengan melakukan proses mengeset semula akan menghilangkan kesemua data peranti dan seterusnya boleh digunakan seperti biasa. Tetapi, tidak untuk produk Apple yang menggunakan iOS, iPadOS dan macOS. Akaun Apple ID mestilah didaftar keluar terlebih dahulu jika ingin membuat mengeset semula peranti seperti Restore iOS pada iTunes.

Kebanyakan perkara ini terjadi adalah kerana peranti yang mempunyai Activation Lock atau masih dikaitkan dengan Apple ID pemilik asal dijual pada harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Faktor lain perkara ini terjadi juga disebabkan segelintir penjual yang tidak jujur mengenai keadaan peranti dan hanya menerima pembayaran dalam talian serta penghantaran sahaja. Terdapat juga pemilik yang tidak mendaftar keluar Apple ID dan terus menjual peranti tersebut begitu sahaja.

Peranti refurbished juga merupakan salah satu daripada punca ini terjadi. Ini kerana sebahagian peranti refurbished (berkualiti rendah), servis dan sistem iCloud hanya dibuang atau dinyahaktif pada peranti sahaja. Pada pelayan pengaktifan Apple masih lagi mempunyai maklumat yang menunjukkan peranti tersebut berada dalam keadaan Activation Lock. Dengan ini, pemilik baharu yang tidak tahu mengenai keadaan sebenar peranti dan membuat mengeset semula atau mengemas kini versi iOS, mendapati peranti tersebut mempunyai sistem Activation Lock yang diaktifkan.

This iPhone is linked to an Apple ID. Enter the Apple ID and password that were used to set up this iPhone. j………[email protected]

Peranti yang mempunyai Activation Lock – Apple ID ini akan memaparkan teks menerangkan peranti ini masih dikaitkan dengan Apple ID dan perlu mendaftar masuk akaun Apple ID dan kata laluan yang digunakan ketika mengeset peranti tersebut. Alamat e-mel Apple ID pemilik dipaparkan dan dikaburkan dengan titik kecuali huruf pertama. Ini adalah untuk memastikan alamat e-mel dan akaun Apple ID anda kekal selamat daripada serangan penggodam yang ingin mengambil alih akaun bagi mendapat akses kata laluan untuk menyahaktifkan Activation Lock ini.

Boleh atau tidak sistem Activation Lock ini dinyahaktif?

Bagi kes Activation Lock – Apple ID tertentu, anda sebenarnya boleh menyahaktifkan sistem Activation Lock ini secara sah melalui pihak Apple. Peranti tersebut mestilah 100% milik anda sendiri dan mempunyai senarai maklumat serta bukti yang lengkap, kukuh dan tepat bagi meyakinkan pihak Apple. Seperti contoh, anda boleh menghubungi pihak Apple Support dan memberikan bukti pembelian untuk pengesahan hak milik tetapi, bukti pembelian tersebut mestilah yang asli dan asal daripada syarikat telekomunikasi ataupun wakil penjual rasmi.

Untuk yang terlupa kata laluan Apple ID dan telah membuat mengeset semula peranti, bermula dari iOS 11 anda boleh menyahaktifkan Activation Lock ini dengan hanya memasukkan kod laluan (Passcode) peranti sahaja. Asalkan, Apple ID anda dilindungi dengan pengesahan dwi-langkah dan peranti yang didaftar di bawah Apple ID anda sahaja boleh dilakukan cara ini.

Dengan menghubungi pemilik asal juga boleh menyahaktifkan sistem keselamatan ini. Namun, anda haruslah bersikap jujur dan berterus terang mengenai keadaan, situasi, dan bagaimana peranti yang diaktifkan Activation Lock ini berada di tangan anda. Jika anda berjaya mencari pemilik asal untuk berbincang dan meyakinkan mereka, tidak mustahil untuk mereka bermurah hati memberikan peranti tersebut kepada anda (samada anda perlu memberi sedikit bayaran atau diberi secara percuma). Jika kedua-dua pihak bersetuju, minta pemilik asal untuk mengeluarkan peranti tersebut daripada Apple ID dan anda membuat mengeset semula peranti.

Terdapat juga cara lain yang boleh dilakukan tetapi tidaklah menyahaktifkan sepenuhnya. Dari segi perisian (software), ia hanya memintas halaman Activation Lock atau secara teknikalnya memintas proses pengaktifan pada Setup.app yang terdapat di dalam sistem iOS. Dari segi perkakasan (hardware), terdapat beberapa kustomasi dan modifikasi cip boleh dibuat untuk menyahaktifkan Activation Lock ini tetapi tidak semua peranti boleh dilakukan.

Walaupun peranti tersebut boleh digunakan seperti biasa, pada pelayan pengaktifkan Apple masih lagi mempunyai maklumat yang menunjukkan peranti itu berada dalam keadaan Activation Lock. Jika pengguna membuat sebarang proses kemas kini iOS atau mengeset semula, halaman Activation Lock akan kembali muncul pada peranti tersebut. Cara pintasan seperti ini juga akan membuatkan penggunaan data selular tidak boleh digunakan seperti biasa bagi iPhone dan iPad model selular.

Di samping itu, terdapat servis berbayar yang menawarkan membuang dan menyahaktifkan kesemua servis dan sistem Apple ID serta iCloud sepenuhnya termasuklah pada pelayan pengaktifan Apple. Namun, cara ini adalah salah di sisi undang-undang. Berdasarkan maklumat dan carian, cara seperti ini kebanyakannya menggunakan teknik pemancing data atau ‘phishing’ Apple ID terhadap pemilik peranti dan juga penggunaan akaun GSX milik pekerja Apple.

Malah, kesahihan di sebalik servis ini sangat meragukan dan terlalu banyak dijalankan di pasaran. Tidak dinafikan, terdapat sindiket yang diakui boleh melakukan pintasan Activation Lock dan pembuangan akaun Apple ID atau iCloud tetapi tidak berbaloi dan perlu membayar pada harga yang sangat mahal. Anda lebih disarankan untuk membeli papan induk baharu yang bebas daripada terkait dengan sebarang akaun Apple ID (bagi pengguna yang ditipu mahupun yang masih berkeras untuk menggunakan bingkai dan aksesori dalaman peranti yang dijumpainya).

Sudah tentu, semua ini dilaksanakan bagi memastikan supaya peranti Apple kekal selamat dan tidak dimanipulasikan oleh pihak lain. Apatah lagi kes kecurian, samun dan peras ugut yang berlaku pada setiap hari di seluruh dunia.

Catatan tambahan: Tafsil di atas ialah hasil carian dan kajian yang saya dapat setakat ini. Tidak mustahil untuk terdapat cara atau alat yang lebih bagus dan berkuasa untuk memintas Activation Lock yang tidak saya sertakan di atas dan tidak diketahui umum.

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen