Berita iOS iPadOS

[Dikemas Kini] iOS 13.1 Membawakan Pembetulan Ilustrasi Pada Emoji – Termasuklah Jalur Gemilang


Kemas kini iOS 13.1 dan iPadOS 13.1 yang dilepaskan secara rasmi pada hari ini mempunyai pelbagai ciri dan fungsi baharu. Ini termasuklah kestabilan dari segi penggunan dan prestasi pada peranti yang dikemas kini. Selain itu, Apple juga turut memperbetulkan ilustrasi emoji yang terdapat dalam sistem operasi iOS sebelum ini pada kemas kini iOS 13.1.

Menurut EmojiPedia, terdapat beberapa kesalahan dari segi reka bentuk dan ilustrasi pada sebahagian emoji yang sedia ada. Ini termasuklah kesalahan berdasarkan anatomi dan sejarah serta maksud di sebalik emoji tersebut.

Berikut ialah antara senarai emoji yang mengalami perubahan dalam kemas kini iOS 13.1 dan iPadOS 13.1:

Emoji bendera Malaysia

Sejak ia diperkenalkan dalam iOS 8.3 hingga iOS 13.0, emoji bendera Malaysia mempunyai ilustrasi yang salah dengan memaparkan 13 jalur berbanding 14 jalur seperti yang terdapat pada Jalur Gemilang. Pada iOS 13.1, ilustrasi telah di kemas kini dengan 14 jalur dan penggunaan warna yang lebih tepat.

Suntingan pertama: Namun, dari segi kedudukan jalur pada bahagian bawah canton berwarna bitu adalah tidak tepat berbanding ilustrasi yang lama. Jalur berwarna merah adalah yang sepatutnya dan bukannya jalur berwarna putih. Kredit: Ajimm

Suntingan kedua: Perkara ini sudah dikemukakan kepada pihak EmojiPedia dan Apple. Diharap rakyat Malaysia dapat bersuara dengan lantang bagi memperbetulkan identiti negara yang tercinta ini.

Suntingan ketiga: Pihak EmojiPedia dan Apple telah mengemas kini rekaan jalur pada iOS 13.1.3. Terima kasih rakyat Malaysia yang bersuara mengenai isu ini dan berada dengan pihak yang betul.

Emoji Smiling Face With Heart-Eyes

Kini mempunyai ilustrasi bentuk hati yang lebih realistik dan 3D. Perubahan yang sama juga dilakukan untuk Emoji 😘 Face Blowing a Kiss dan 😻 Smiling Cat Face With Heart-Eyes.

Emoji sotong kurita

Emoji sotong kurita kini memaparkan penghisap pada bahagian lengan hadapan.

Emoji cumi-cumi

Bahagian sifon tidak lagi dipaparkan pada bahagian hadapan cumi-cumi.

Emoji nyamuk

Emoji yamuk kini mempunyai 6 kaki, berbanding 5 kaki sebelum ini yang menunjukkan anatomi yang salah.

Emoji kepingan Jigsaw

Perubahan dari segi warna daripada biru kepada warna hijau. Ini adalah untuk mengelakkan dari tersalah erti dengan logo organisasi Autism Speaks yang menggunakan kepingan Jigsaw berwarna biru.

Emoji sempoa

Kedudukan sempoa kini ditegakkan berbanding sebelum ini yang berada pada kedudukan yang salah.

Selain itu, emoji seperti hati berwarna biru, ikan duyung, muka lembu, babi hutan, tikus, landak, burung hantu, gelas Tumbler dan Party Popper telah dikemas kini dengan ilustrasi yang baharu.

Diharapkan tiada pengguna yang salah paham antara emoji di atas dengan senarai 59 emoji yang diumumkan pada Hari Emoji Sedunia bulan Julai lepas. 59 emoji tersebut mungkin akan diperkenalkan pada kemas kini iOS 13.2 atau iOS 13.3 kelak (termasuklah iPadOS).

Sumber: EmojiPedia


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen