Info iPhone Perbandingan

Perbandingan Model iPhone 11 Dan Telefon Pintar Lain Dalam Ujian Ketahanan Bateri

Sewaktu pengenalan ketiga-tiga iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max, Apple telah menceritakan pelbagai ciri dan fungsi baharu yang terdapat pada model iPhone tersebut. Ini termasuklah dari segi ketahanan bingkai, kekuatan panel kaca dan juga kehebatan penggunaan tri-kamera.

Selain itu, Apple juga turut menekankan masa penggunaan harian dengan perbandingan antara model sebelum ini. Menurut Apple, iPhone 11 menawarkan masa penggunaan tambahan sebanyak 1 jam berbanding iPhone XR sebelum ini. Untuk iPhone 11 Pro pula menawarkan masa penggunaan tambahan sebanyak 4 jam berbanding iPhone XS, sementara itu, iPhone 11 Pro Max pula menawarkan masa penggunaan tambahan selama 5 jam berbanding iPhone XS Max sebelum ini.

iPhone 11 mempunyai bateri berkapasiti 3110 mAh. Bagi iPhone 11 Pro pula, kapasiti bateri ialah 3046 mAh dan iPhone 11 Pro Max dengan kapasiti 3969 mAh. Sebagai kepastian untuk kenyataan di atas, ujian ketahanan bateri telah dilakukan oleh Mrwhosetheboss dengan perbandingan antara tiga model iPhone tersebut dan dua telefon pintar lain iaitu Huawei Mate 30 Pro dan Samsung Galaxy Note 10+.

Berdasarkan hasil ujian yang dilakukan, iPhone 11 Pro Max telah mengalahkan kedua-dua pesaing tersebut dengan mudah. Huawei Mate 30 Pro mempunyai bateri berkapasiti 4500 mAh manakala Galaxy Note 10+ dengan kapasiti bateri 4300 mAh. Mengikut turutan, iPhone 11 bertahan selama 5 jam 2 minit, Galaxy Note 10+ dengan 6 jam 31 minit, iPhone 11 Pro dengan 6 jam 42 minit, Huawei Mate 10 dengan 8 jam 13 minit dan yang terakhir iaitu iPhone 11 Pro Max dengan 8 jam 32 minit. Anda boleh tonton video di bawah:

Namun, hasil ujian kedua yang dilakukan oleh Brandon Butch pula menunjukkan data yang berbeza dengan video di atas. iPhone 11 Pro Max bertahan selama 7 jam 46 minit, iPhone 11 Pro dengan 7 jam 31 minit dan iPhone 11 6 jam 34 minit. Beliau juga melakukan perbandingan dengan model iPhone sebelum ini iaitu iPhone XS Max, iPhone XS, iPhone XR dan iPhone 8 Plus.

Selepas sahaja ujian tersebut tamat, beliau mendapati iPhone 11 mempunyai suhu yang sangat panas di antara model iPhone yang lain. Suhu iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max tidak sepanas seperti iPhone 11. Agak mengejutkan juga, iPhone XR berjaya mengalahkan iPhone 11 dengan perbezaan sebanyak 5 minit. Anda boleh menonton video di bawah:

Pelbagai aplikasi dan cara tersendiri yang digunakan pada kedua-dua video di atas. Kedua-dua ujian ini dilakukan dengan sistem operasi iOS 13.0 iaitu sebelum iOS 13.1 dilepaskan secara rasmi pada rabu lepas walaupun tidak dinyatakan. Jika kemas kini dilakukan, mungkin akan menujukkan maklumat yang berlainan disebabkan iOS 13.1 mempunyai penambahbaikan dan peningkatan prestasi seperti yang dilaporkan.

Malah, faktor unit serta jangka hayat dan kesihatan bateri juga boleh mempengaruhi hasil ujian di atas. Seperti yang saya tekankan sebelum ini, faktor ketahanan bateri, kestabilan sistem operasi misalnya adalah bergantung pada cara dan tempoh penggunaan harian oleh pemilik serta tempoh kekerapan mengecas peranti. Setiap peranti mempunyai kestabilan, prestasi dan penggunaan yang berbeza serta tersendiri.

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen