Acara Khas Apple iPhone

Apple Melancarkan Siri iPhone 12 Dan iPhone 12 Mini – Skrin OLED, Dwi-Kamera Dan Rekaan Baharu


Ketika acara khas berlangsung, Apple telah melancarkan sebanyak empat model baharu di bawah edisi iPhone 12 yang diperkenalkan pada hari ini. Untuk pengenalan, mari mengenali iPhone 12 dan iPhone 12 mini ini ialah merupakan siri yang hadir dengan spesifikasi yang ‘rendah’ berbanding model yang lain.

Model iPhone 12 ini hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci OLED berresolusi Super Retina XDR. Dikuasakan dengan cip pemprosesan Apple A14 Bionic, membawakan penggunaan CPU dan CPU yang lebih pantas sebanyak 50% berbanding cip telefon pintar yang lain. Berbanding dengan iPhone 11 sebelum ini, iPhone 12 kini mempunyai dwi-kamera 12-megapiksel dengan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar manakala kamera hadapan ialah 12-megapiksel.

Buat pertama kalinya, setelah hampir 6 tahun menggunakan rekaan lengkungan pada bahagian sisi, Apple telah mengembalikan rekaan dengan permukaan rata seperti generasi iPhone 4 dan 5 dahulu. Kaca pada skrin hadapan kini dilengkapi dengan pelindung seramik yang dikatakan boleh menahan kesan hentakan akibat jatuh atau hempap. Sistem sekuriti imbasan wajah Face ID dikekalkan dengan takuk yang lebih kecil.

Bagi iPhone 12 mini pula ialah model kompak kepada iPhone 12 dengan skrin bersaiz 5.4-inci OLED berresolusi Super Retina XDR. Hampir kesemua spesifikasi dalaman dan luaran antara kedua-dua model ialah sama. iPhone 12 mini ini menurut Apple ialah merupakan telefon pintar 5G yang kecil di dunia setakat ini.

Apple pada masa yang sama telah memperkenalkan pengecasan nirwayar berasaskan magnet yang dinamakan sebagai MagSafe. Kesemua keempat-empat model iPhone menyokong pengecasan nirwayar MagSage ini dengan kuasa sebanyak 15W termasuklah pengecasan berwayar 20W dengan kabel Lightning kepada USB-C.

Setiap pakej kotak bagi siri model iPhone 12 ini tidak lagi disertakan pengecas dan fon telinga bersama-sama. Pengguna hanya ditawarkan sebuah kabel Lightning kepada USB-C di dalam kotak dan perlu membeli pengecas USB-C untuk mengecas peranti ini.

Apple iPhone 12 dan iPhone 12 mini boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu hitam, biru, hijau, putih dan merah edisi (PRODUCT)RED. Pengguna boleh mendapatkan iPhone 12 ini bermula dari RM3899 bagi storan 64GB sehingga RM4599 bagi storan 256GB. Untuk iPhone 12 mini dijual pada harga bermula dari RM3399 bagi storan 64GB sehingga RM4099 bagi storan 256GB.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen