Editorial

‘Tempoh Kritikal’ Selepas Versi iOS Baharu Sedia Dimuat Turun


Sebut sahaja mengenai sistem operasi baharu yang diperkenalkan pasti ramai yang ingin mencubanya pada peranti masing-masing. Ketika dipersembahkan kepada umum pada acara khas Apple Worldwide Developer Conference (WWDC), pengguna umum khususnya lebih teruja akan ciri-ciri yang bakal hadir pada sistem operasi baharu tersebut. Kemudian, sistem operasi ini sedia dimuat turun secara rasmi pada tarikh tertentu yang menjadikan ia sebahagian daripada acara tahunan.

Sudah tentu, pengguna yang mahukan suatu yang baharu atau kelainan akan membuat kemas kini dengan memuat turun sistem operasi mengikut peranti yang digunakan. Dengan bermulanya penawaran proses muat turun sistem operasi ini, suatu tempoh kritikal bakal dihadapi oleh pengguna dan juga termasuklah pihak Apple serta pembangun aplikasi.

Apple mempuyai sistem operasi iOS, watchOS, iPadOS, macOS dan tvOS yang dibangunkan oleh mereka sendiri. Pada artikel ini, saya mengkhususkan kepada sistem operasi iOS tetapi ia juga boleh diguna pakai mengikut situasi penawaran suatu sistem operasi yang sedia ada.

Apakah itu ‘tempoh kritikal‘? Tempoh kritikal ini merupakan terma bagi saya ialah suatu tempoh rumit berlaku yang melibatkan ketiga-tiga pihak iaitu Apple, pembangun aplikasi dan pengguna umum. Kebiasaannya, waktu ini berlangsung berhari hinggalah berminggu lamanya. Berdasarkan pemerhatian, ia berlaku di antara 1 hingga 3 minggu pertama selepas sahaja hari pertama versi iOS baharu ditawarkan kepada umum.

Bagi Apple, mereka perlu memastikan kestabilan sistem-sistem operasi yang ditawarkan kepada pengguna. Jika terdapat kes serius yang berlaku misalnya yang melibatkan kerentanan sekuriti, masalah peranti tidak berfungsi dengan sempurna malah tidak boleh digunakan seperti sedia kala ialah merupakan aspek penting untuk Apple mengeluarkan kemas kini iOS yang baharu secara mengejut bagi memperbaiki masalah ini. Saiz kemas kini yang ditawarkan tidaklah bersaiz besar dan hanyalah sebagai penambahbaikan dan tampalan pepijat.

Versi iOS baharu yang ditawarkan ketika pelancaran biasanya agak tidak beberapa stabil walaupun telah diuji dalam beberapa fasa percubaan dikeluarkan berdasarkan beberapa tahun sebelum ini. Kebanyakan peranti yang dipasangkan juga hanyalah sebagai peranti ujian bagi memastikan aplikasi yang dibangunkan boleh digunakan dengan lancar. Jumlah yang agak kecil bagi suatu peranti yang digunakan harian menggunakan versi percubaan ini.

Perkara sebegini semestinya dijangkakan tetapi waktu suatu kemas kini pembaikan ditawarkan kepada pengguna ialah diluar jangkaan. Oleh itu, senantiasalah memeriksa halaman Kemas Kini Perisian yang terdapat pada bahagian Seting peranti anda. Jika terdapat masalah serius berkaitan dengan versi iOS baharu, anda boleh membuat laporan terus kepada Apple melalui halaman https://www.apple.com/feedback/.

Penggunaan aplikasi ialah merupakan suatu kemudahan utama yang penting diguna pakai dalam kehidupan seharian. Aplikasi pada telefon pintar juga adalah salah satu daripada sumber carian pendapatan mengikut jenis servis yang ditawarkan. Sehingga kini, sebanyak 2.2 juta aplikasi iOS terdapat di dalam Apple App Store dibangunkan oleh para pembangun.

Selesai sahaja acara khas Apple yang berlangsung pada setiap bulan September, para pembangun aplikasi perlu menyerahkan aplikasi mereka yang menyokong versi iOS yang baharu. Lebih tepat lagi, tempoh 7 hari sebelum iOS 15 sedia dimuat turun ialah waktu penyerahan aplikasi kepada pihak Apple.

Dalam tempoh 7 hari ini, setiap aplikasi perlu melalui beberapa peringkat sebelum diluluskan untuk boleh dimuat turun di App Store. Proses semakan pengekodan, penilaian dan dicuba sendiri oleh staf App Store Review bagi menepati garis panduan yang telah ditetapkan sebelum boleh dimuat turun oleh penggguna. Sudah tentu, tempoh 7 hari ini ialah tidak mencukupi dan boleh berpanjangan sehinggalah memasuki tempoh kritikal tersebut.

Oleh sebab itu, terdapat beberapa aplikasi yang tidak boleh digunakan setelah versi iOS baharu dimuat turun dan dipasang pada iPhone anda. Aplikasi sebegini seringkali dikatakan sebagai tidak serasi (compatible) dengan versi iOS baharu disebabkan beberapa faktor dan selalunya masalah seperti tidak boleh dibuka malah tidak boleh digunakan sepenuhnya serta tidak berjalan dengan lancar adalah yang sering dihadapi oleh pengguna pada tempoh kritikal ini.

Sebahagian aplikasi juga tidak diintegrasikan dengan ciri-ciri sistem yang terdapat pada versi iOS yang baharu tersebut. Walaupun ada pembangun aplikasi yang telah menyerahkan aplikasi mereka awal pada waktunya, ini juga bergantung kepada pihak Apple untuk meluluskan aplikasi tersebut ke App Store. Tidak semestinya pembangun aplikasi perlu disalahkan jika aplikasi tersebut tidak boleh digunakan.

Tidak semua pembangun aplikasi atau syarikat mempunyai tenaga kerja bagi menguruskan semua masalah yang dihadapi oleh pengguna. Apatah lagi mempunyai dana sehingga RM70 juta bagi proses pembangunan aplikasi, sistem dan integrasi dalam pengurusan data. Tambahan lagi, para pembangun aplikasi juga perlu memastikan aplikasi mereka serasi dengan versi iOS yang sebelum ini (iOS 14 ke bawah). Memiliki peranti yang dipasang setiap versi iOS digunakan oleh pengguna adalah diluar kemampuan mereka. Oleh sebab itu, pengguna umum adalah rujukan utama bagi mengekalkan kelancaran dan kestabilan suatu penggunaan aplikasi.

Pastikan anda selalu memerika dan muat turun pada halaman kemas kini aplikasi di App Store setelah membuat pemasangan versi iOS yang baharu. Ini secara langsung boleh menyelesaikan masalah aplikasi yang tidak boleh digunakan, “lag” mahupun tidak boleh dibuka langsung. Jika masih terjadi, anda boleh membuat laporan kepada pembangun aplikasi pada halaman aplikasi di App Store.

Kedua-dua masalah yang dihadapi oleh Apple dan pembangun aplikasi di atas sudah tentu memberikan kesan kepada pengguna, iaitu anda. Dalam tempoh kritikal ini, anda sebagai pengguna perlu memastikan perisian iOS pada peranti dan aplikasi perlu dikemas kini bagi memastikan kelancaran penggunaannya dalam segala urusan.

Pada tempoh kritikal ini, terdapat pengguna yang masih berdolak dalih untuk mengemas kini versi iOS baharu, anda boleh mengambil beberapa pendapat, pengalaman dan ulasan pengguna lain yang menggunakan peranti yang sama seperti anda. Namun, aspek di bawah perlu diberikan keutamaan:

  • peranti yang mungkin dibeli selepas beberapa bulan daripada peranti anda
  • penggunaan harian yang tidak sama
  • kekerapan penggunaan suatu aplikasi
  • waktu dan kekerapan mengecas
  • ruang storan yang masih ada
  • jumlah mAh dan jangka hayat bateri, bateri kembung atau tidak
  • penggunaan alat komponen tidak asli dan sebagainya

Walaupun kedua-dua peranti adalah model yang sama, aspek di atas perlu diambil nilai sebelum anda membuat proses kemas kini iOS pada peranti masing-masing. Ia juga bukanlah suatu yang untuk dibanggakan dan dihebohkan di media sosial.

Apa yang ingin saya sampaikan ialah sebagai suatu nasihat kepada pengguna Apple yang semakin hari semakin meningkat. Pertanyaan seperti “kenapa app crash”, “app tak boleh guna”, “lag bila dah update iOS yang baru” adalah acap kali ditanyakan setiap hari sepanjang tempoh kritikal ini pada setiap tahun berdasarkan apa yang saya hadapi sebelumnya. Saranan saya ialah untuk tangguh terlebih dahulu untuk muat turun iOS 15 ini sehinggalah ia betul-betul stabil untuk digunakan. Jangka masa 1 hingga 2 minggu adalah disarankan.

Kita sekarang hidup di zaman yang memerlukan penggunaan aplikasi dan telefon pintar dalam urusan harian. Apabila ingin memasuki suatu premis, anda perlu mengimbas kod dan maklumat suntikan perlu ditunjukkan, ada yang gunakan untuk membuat pesanan makanan, membuat bayaran bil termasuklah para penghantar makanan dan barang (rider) yang menggunakan aplikasi sebagai petunjuk arah kepada penerima.

Saya terbaca di sebuah komuniti subreddit Apple, ada pengguna Mac yang sanggup tunggu sehingga 3 bulan selepas macOS ditawarkan secara rasmi hanya untuk memastikan sistem operasi itu lancar dan tidak mengganggu urusan kerja mereka. Ini adalah untuk memastikan perisan dan aplikasi yang digunakan adalah stabil serta lancar sepenuhnya untuk digunakan pada komputer mereka. Begitu jugalah anda, aspek dan saranan di atas boleh diambil kira sekiranya anda bukanlah pengguna yang mempunyai masa lapang untuk melayan kerenah peranti anda. Sebolehnya, beri masa kepada Apple dan pembangun aplikasi untuk mengemas kini sistem operasi dan aplikasi supaya kedua-duanya serasi serta lebih stabil digunakan.

Sudah tentu, kesemua ini adalah andaian saya berdasarkan maklumat versi iOS tahun sebelum ini. Ini adalah bukan untuk menakut-nakutkan pengguna lain tetapi ia adalah pengalaman saya sendiri. Tidak dinafikan kelancaran penawaran iOS baharu ialah semakin bagus berbanding iOS 10 dan iOS 11 sebelum ini. Apa-apa pun, kita semua berharap kesemua sistem operasi milik Apple tahun ini tidak mempunyai masalah serius dan boleh digunakan dengan lancar.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen