Apple Watch iPhone

Apple Menawarkan Sejumlah Produk Di Bawah PRODUCT(RED) Bersempena Dengan Hari Aids Sedunia Tahun Ini

Apple pada hari ini telah mengumumkan 15 tahun sambutan Hari Aids Sedunia bersama dengan penawaran produk di bawah siri PRODUCT(RED). Kempen PRODUCT(RED) ini merupakan kempen oleh syarikat RED bagi penjualan produk bersama rakan kongsi yang diwarnakan dengan warna merah.

Sebahagian hasil jualan produk tersebut akan disumbangkan bagi membantu pesakit HIV/AIDS di Afrika. Penyertaan oleh Apple ialah pada tahun 2006 dengan produk iPod Nano. Bagi tahun ini, Apple telah menawarkan sejumlah produk dan aksesori seperti kerangka, tali jam bagi peranti iPhone 13 (PRODUCT)RED, iPhone 13 mini (PRODUCT)RED dan Apple Watch Series 7 (PRODUCT)RED.

Pengguna Apple Watch juga boleh mendapatkan enam muka jam baharu berwarna merah pada laman web Apple ini. Versi iOS pada iPhone dan Apple Watch perlu sekurangnya iOS 14.5 dan ke atas bersama  watchOS 7.4 dan ke atas.

Bermula hari ini sehinggalah 6 Disember, Apple akan mendermakan sebanyak $1 (~RM4.22) bagi setiap pembelian pada laman jualan Apple, dalam aplikasi Apple Store atau di kedai fizikal Apple Store yang dibuat menggunakan pembayaran Apple Pay.

Menurut Apple, sebahagian hasil jualan produk PRODUCT(RED) disumbangkan kepada The Global Fund to Fight AIDS. Manakala sebahagian hasil yang layak daripada jualan PRODUCT(RED) juga akan disumbangkan kepada Global Fund COVID-19 Response.

Pada masa yang sama juga, Apple ingin meningkatkan kesedaran terhadap penyakit berjangkit ini. Oleh itu, laman App Store bakal mengetengahkan aplikasi Positive Singles iaitu aplikasi carian pasangan hidup yang menghidapi HIV/AIDS dan jangkitan secara seksual. Aplikasi ini juga akan memberika panduan dan sumber bagi yang baru didiagnosis dan mencari maklumat yang berguna.

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen