Hari ini Apple secara rasminya mengumumkan nama untuk kampus terbaru yang berbentuk seperti rekaan ‘kapal angkasa’ dengan konsep senibina Neo-futurism iaitu sebagai Apple Park. Sebelum ini ramai yang membuat spekulasi berkaitan dengan nama kampus tersebut yang akan dinamakan sebagai “Apple Campus 2” selepas Apple Campus di 1 Infinite Loop, Cupertino, California, Unites States.
Apple Park merupakan salah satu projek yang diilhamkan oleh pengasas terkenal Apple iaitu Steve Jobs dan direka oleh arkitek Norman Foster dengan rekaan berbentuk bulatan yang mempunyai panel kaca melengkung besar mengelilingi bangunan tersebut. Apple Park akan mula dibuka kepada pekerja Apple bermula pada April ini selepas pembinaan dimulakan pada November 2013. Kawasan Apple Park ini seluas 175 ekar (71 hektar) yang telah menelan perbelanjaan dalam lingkungan sebanyak $5 bilion USD dan kawasan keseluruhannya bernilai dalam jangkaan $160 juta USD.
Apple Park ini dikuasakan dengan jana kuasa 17 megawatt melalui panel bumbung solar dan bakal menempatkan 12 ribu pekerja dalam satu bangunan serta mempunyai fasiliti seperti Research and Development, Apple Store, kafe umum dan pusat kecergasan untuk pekerja Apple. Selain dari itu, Apple akan menamakan auditorium yang dibina berdekatan dengan Apple Park sebagai “Steve Jobs Theater” yang boleh menempatkan seramai seribu penonton dalam satu masa sebagai kenangan untuk pengasas Apple, Steve Jobs.
Steve Jobs Theater dijangka akan dibuka pada akhir tahun ini.
Tambah Komen