Info iPhone

6 Punca Utama iPhone Anda Tidak Mendapat Servis Rangkaian


Sejak kebelakangan ini, ramai pengguna yang mengadu apabila iPhone yang mereka beli tidak dapat berhubung dengan mana-mana rangkaian. Kebanyakan daripada mereka membeli iPhone terpakai dan juga refurbished. Artikel ini akan menerangkan antara 6 punca utama iPhone anda tidak mendapat servis rangkaian.

Sebagai pendahuluan, ada dua petanda utama untuk mengenalpasti apabila masalah servis rangkaian ini berlaku. Pertama, pengguna lazimnya mengenalpasti masalah ini menerusi ketiadaan isyarat sel rangkaian pada bar status iPhone mereka. Ianya digantikan dengan label “Tiada Servis”.

Kredit: iKream

Kedua, iPhone anda gagal untuk mencari dan bersambung dengan mana-mana sel rangkaian. Isyarat sel rangkaian pada bar status digantikan dengan label “Mencari” atau “Searching“.

Kredit: ETrade Supply

1. Punca yang pertama ialah disebabkan kerosakan kad SIM. Kerosakan kad SIM merupakan punca yang popular dalam kalangan pengguna. Kadang-kadang, memang kad SIM ini mungkin boleh digunakan di telefon bimbit lain, tetapi tidak boleh digunakan di iPhone. Lazimnya, selepas menukar kepada kad SIM yang baharu, pengguna sudah tidak lagi mengalami masalah ini. Pengguna juga disarankan untuk mencuba dahulu kad SIM dari rakan dan ahli keluarga dahulu untuk memastikan yang masalah sememangnya berpunca daripada kad SIM. Jika sudah cuba kad SIM lain (cubalah sekurang-kurangnya 3 kad SIM yang aktif) dan masih lagi mempunyai masalah yang sama, mungkin masalah ini bukan berpunca daripada kerosakan kad SIM.

2. Punca yang kedua ialah disebabkan oleh kerosakan komponen dalaman iPhone. Kerosakan komponen dalaman iPhone ini boleh dibahagikan kepada beberapa komponen utama seperti dulang kad SIM, pembaca kad SIM, cip antenna, cip rangkaian dan berbagai lagi. Masalah ini akan lebih serius sekiranya iPhone anda tidak dapat membaca maklumat IMEI dan Firmware Modem di Seting > Umum > Perihal. Disarankan agar pengguna menuntut jaminan dari Apple sekiranya masih ada ataupun pergi ke juruteknik yang dipercayai untuk membaiki masalah-masalah ini.

3. Punca yang ketiga ialah disebabkan masalah rangkaian ataupun liputan rangkaian tersebut. Lazimnya, apabila masuk ke dalam hutan, memang kadang-kadang tiada liputan rangkaian. Sedangkan guna perkhidmatan syarikat rangkaian yang terbesar pun masih tidak dapat liputan apabila berada di hutan, apatah lagi apabila menggunakan perkhidmatan syarikat rangkaian yang kecil-kecil. Ada juga pada masanya, syarikat rangkaian anda memang mempunyai masalah pada ketika itu. Tetapi biasanya, masalah-masalah servis rangkaian ini tidaklah lama. Jawapan yang biasa didengari daripada pihak syarikat rangkaian ialah masalah yang berlaku pada pencawang telekomunikasi di kawasan anda.

4. Punca yang keempat ialah kad SIM anda tidak lagi aktif. Hal ini perlu dirujuk terus kepada syarikat rangkaian yang terbabit. Bagi pengguna pelan prabayar, sekiranya tidak menambah nilai pada akaun anda setelah lebih 60 hari daripada tarikh luput, kad SIM tersebut secara automatik akan tidak lagi aktif dan tidak dapat untuk menyambung kembali ke rangkaian. Bagi yang menukar kepada kad SIM baharu, kad SIM yang lama tidak akan aktif lagi sejurus selepas kad SIM baharu diaktifkan.

5. Punca yang kelima ialah iPhone anda ialah iPhone yang terikat dengan syarikat telekomunikasi tertentu yang menggunakan rangkaian CDMA. Lazimnya, syarikat telekomunikasi seperti di negara Amerika Syarikat dan United Kingdom masih mengamalkan polisi ini. iPhone yang terikat dengan kontrak syarikat tersebut hanya boleh menggunakan kad SIM dari syarikat telekomunikasi itu sahaja dan tidak boleh menggunakan kad SIM dari syarikat lain. Pengguna boleh melepaskan ikatan ini dengan merujuk semula kepada syarikat telekomunikasi tersebut atau menggunakan R-SIM untuk ‘unlock’.

Berhati-hati dengan penjual yang menyatakan iPhone tersebut sudah ‘unlock’ sepenuhnya. Ini kerana proses ‘unlock’ hanya boleh dilakukan oleh syarikat telekomunikasi sahaja. Sila pastikan sebelum membeli dengan membuat proses Erase All Content and Settings atau membuat proses Update iOS pada iPhone ataupun membuat proses Restore iOS di iTunes (jika mampu), dengan ini anda boleh ketahui samada iPhone itu menyokong kad sim atau tidak semasa proses membuat ‘Setup’ iPhone yang akan tersekat pada skrin ‘Sim Not Supported’.

6. Punca yang keenam ialah apabila iPhone anda tidak habis dibayar. Kini, lebih mudah untuk memiliki iPhone melalui pembayaran ansuran bulanan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak terutamanya daripada syarikat rangkaian. Tempoh ansuran bulanan ini ada yang 12 bulan, 24 bulan dan sehingga 36 bulan. Pembeli harus membayar ansuran bulanan ini setiap bulan. Sekiranya ada tunggakan satu hingga dua bulan, amaran akan diberikan melalui panggilan telefon dan emel. Sekiranya tunggakan melebihi tiga bulan, syarikat rangkaian terbabit tidak teragak-agak untuk menyekat iPhone ini daripada bersambung dengan mana-mana rangkaian.

Melalui Perkhidmatan Sekat Telefon Bimbit Awam yang diperkenalkan pada 2013, syarikat rangkaian mampu melakukan ini. Perkhidmatan ini diperkenalkan oleh kerajaan adalah untuk menyekat isyarat servis rangkaian telefon bimbit yang telah dicuri atau hilang atas kehendak pemilik tersebut. Setiap syarikat rangkaian diwajibkan menyediakan perkhidmatan ini melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu pengguna. Memandangkan pengguna gagal untuk melangsaikan hutangnya bersama syarikat rangkaian tersebut, syarikat rangkaian berhak untuk menggunakan perkhidmatan tersebut untuk menghalang penggunaan telefon bimbit ini. Telefon bimbit tersebut tidak akan dapat berhubung dengan mana-mana rangkaian sepanjang sekatan ini. Sekatan ini bukan untuk iPhone sahaja, malah boleh juga digunakan untuk semua telefon bimbit.

‘Penjual’ iPhone sekarang semakin licik. Ada yang menggunakan maklumat orang lain untuk mendapatkan telefon bimbit melalui ansuran. Tidak perlu keluarkan apa-apa wang terus dapat iPhone dan kemudiannya dijualkannya kepada orang lain. Lazimnya mereka mengumpan dengan menjual iPhone tersebut dengan harga yang murah. Pembeli mungkin kurang arif tentang iPhone dan terkena dengan muslihat dan tipu daya ‘penjual’ ini. Memang tiga hingga empat bulan pertama menggunakannya, semuanya baik-baik sahaja. Tetapi selepas iPhone ini disekat, ianya tidak dapat digunakan lagi. Nak cari ‘penjual’ semula pun payah. Pembeli ini dianiayai, dan terpaksa pula memikirkan cara untuk mengaktifkan semula iPhone tersebut.

Oleh yang demikian, kepada pembeli iPhone terpakai, dinasihatkan untuk lebih cakna dan berhati-hati dengan punca yang keenam ini. Selain daripada memeriksa tempoh jaminan dari Apple, anda juga perlu meminta resit pembelian daripada penjual. Sekiranya ia adalah iPhone yang dibeli melalui ansuran, dapatkan maklumat dahulu daripada penjual. Mungkin juga boleh meminta bantuan Penyedia Servis Apple yang sah seperti Machines, MacCity, Switch dan lain-lain untuk membuat diagnosis (mungkin perlu membuat bayaran) bagi mendapatkan maklumat iPhone tersebut sebelum membuat bayaran kepada penjual.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen