Bersama-sama dengan sistem operasi baharu yang diumumkan, Apple juga turut membuat pengenalan mengenai komputer gergasi mereka iaitu Mac Pro. Mac Pro ini hadir dengan konfigurasi maksimum dengan penggunaan pemprosesan Intel Xeon sehingga 28 teras, RAM EEC 1.5TB, storan SSD sehingga 4TB, grafik AMD Radeon Pro Vega II Duo, dan lapan slot pengembangan PCIe untuk prestasi yang maksimum.
Rekaan Mac Pro baharu juga hadir dengan rekaan ‘pemarut keju’ yang kini kembali diguna pakai berdasarkan rekaan generasi pertama bermula tahun 2006 lepas. Penggunaan bahan keluli tahan karat pada bingkai dan bahan aluminium pada kerangka yang boleh diangkat untuk mengakses kesemua sistem secara 360 darjah.
Menurut Apple, Mac Pro baharu ini dikuasakan dengan 300W dan mempunyai sistem pengudaraan untuk membolehkan pemprosesan berjalan dengan lancar. Apple juga turut memperkenalkan kad Apple Afterburner bersama Mac Pro untuk membolehkan penyuntingan 3 video 8K ProRes RAW atau 12 video 4K ProRes RAW dalam satu masa.
Apple Mac Pro ini dijual dengan harga sebanyak $5,999 di Amerika Syarikat bagi spesifikasi permulaan iaitu pemprosesan Intel Xeon 8 teras, 32GB EEC RAM, grafik AMD WX 7100, and storan SSD 256GB, serta pra tempahan dibuka pada suku ketiga tahun ini. Untuk pasaran Malaysia, masih tiada pengumuman dibuat lagi.
Tambah Komen