Bersama-sama kemas kini iOS 13 yang dilepaskan secara rasmi, Apple juga turut melepaskan kemas kini bagi sistem operasi Apple Watch yang baharu iaitu watchOS 6. Sistem operasi jam tangan pintar ini mula diperkenalkan pada acara khas Apple WWDC 2019 yang berlangsung pada bulan Jun lepas.
Berikut ialah senarai model Apple Watch yang menyokong watchOS 6 ini:
- Apple Watch Series 1
- Apple Watch Series 2
- Apple Watch Series 3
- Apple Watch Series 4
- Apple Watch Series 5
Pengguna Apple Watch Series 1 dan Series 2 belum boleh mengemas kini watchOS 6 ini dan hanya tersedia untuk Series 3 dan Series 4 terlebih dahulu. Tidak dipastikan mengapa Apple melakukan cara kemas kini seperti ini.
Kemas kini watchOS 6 ini boleh dilakukan menggunakan aplikasi Apple Watch yang terdapat pada iPhone anda melalui General -> Software Update. Pastikan peratusan bateri Apple Watch sekurang-kurangnya mempunyai sebanyak 50% ke atas dan anda perlu mengecas Apple Watch semasa proses muat turun dan pemasangan kemas kini. iPhone juga perlu berada pada jarak yang terdekat dengan Apple Watch.
watchOS 6 ini mempunyai pelbagai muka jam baharu, penggunaan App Store serta penambahbaikan dan ciri yang baharu. Antaranya ialah, aplikasi kalkulator ‘mini’ serta aplikasi Audiobooks dan Voice Memos yang berasaskan antaramuka Apple Watch. Aplikasi Noise juga hadir dengan ciri mengesan tahap bunyi dalam persekitaran luar.
watchOS 5 juga mempunyai muka jam baharu seperti Modular Compact, Solar Dial, California, Gradient, dan Numerals faces. Setiap muka jam baharu juga mempunyai ciri tersendiri seperti muka jam ‘Taptic Chimes’ yang akan memberi tahu waktu pada setiap jam dengan getaran atau bunyi jika audio diaktifkan.
Selain itu, Apple juga memperkenalkan aplikasi Cycle Tracking yang bercirikan kesihatan iaitu pengiraan kitaran haid khas untuk kaum wanita pada watchOS 6 ini.
Dengan App Store yang secara terbina, pengguna kini boleh memasang aplikasi khas untuk Apple Watch tanpa perlu menggunakan iPhone. Pengguna boleh menggunakan arahan suara dengan Siri untuk mencari dan melihat halaman aplikasi daripada Apple Watch sahaja.
Tambah Komen