Bersama-sama dengan peranti jam tangan pintar baharu dan iPad generasi kelapan yang diperkenalkan, Apple juga turut memperkenalkan model iPad Air yang baharu kepada umum pada acara khas yang berlangsung pada hari ini. iPad Air generasi baharu ini mempunyai rekaan yang dikemas kini serta spesifikasi yang ditambah baik berbanding model sebelum ini.
iPad Air kali ini hadir dengan rekaan yang berasaskan seperti model iPad Pro bagi generasi ketiga dan keempat. Dengan bezel skrin yang nipis dan tidak lagi mempunyai butang Home bermekanikal, ia menawarkan tontonan video dan penggunaan yang lebih produktif kepada pengguna.
Buat pertama kalinya, sistem sekuriti pengimbas cap jari Touch ID telah diimplimentasikan pada butang kuasa peranti. Ini kerana sistem pengesanan wajah Face ID tidak ditawarkan bagi model iPad Air kali ini. Penggunaan port pengecas USB-C juga telah digunakan berbanding port Lightning yang sebelum ini.
Dijana oleh cip pemprosesan Apple A14 Bionic, menjadikan ia salah satu model iPad yang berkuasa dengan penggunaan yang lebih lancar dan stabil. Sokongan Apple Pencil generasi kedua juga boleh digunakan dan dilekatkan dengan magnet pada bahagian sisi iPad termasuklah papan kekunci Magic bercahaya diperkenalkan pada tahun ini bermula dari iPad Pro.
iPad Air generasi baharu ini ditawarkan dengan lima pilihan warna dengan harga bermula dari RM2599 bagi versi Wi-Fi manakala RM3149 bagi versi selular.
Tambah Komen