Apple

Apple Memfailkan Saman Ke Atas Firma Sekuriti Bagi Penggunaan Perisian Intip Pada Pengguna iPhone


Apple pada hari ini telah mengumumkan bahawa mereka telah memfailkan saman terhadap firma sekuriti dari Israel, NSO Group dan syarikat induknya. Berdasarkan laman berita Apple, saman ini dilakukan adalah disebabkan penggunaan perisian intip yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pengawasan tetapi disalah guna untuk ditujukan kepada pengguna produk Apple.

Dalam saman tersebut, Apple menyatakan penggunaan perisian sebegini telah menyebabkan privasi dan maklumat peribadi pengguna terbocor. Walaupun ia hanya mensasarkan jumlah kecil pengguna, Apple melihat serangan ini adalah serius dan mereka senantiasa memperkuatkan sekuriti iOS bagi menjamin keselamatan maklumat pengguna.

Syarikat NSO Group telah membangunkan perisian intip yang dinamakan sebagai “Pegasus”. Perisian ini telahpun dijual kepada kerajaan di seluruh duia bagi menggunakannya untuk mengakses peranti peguam, wartawan dan aktivis asasi manusia. Pegasus boleh mengakses peranti iOS dengan beberapa eksploit yang telah dihasilkan.

Seperti contoh, eksploit FORCEDENTRY yang terdapat pada iMessage dalam iOS 14.8 telah membolehkan untuk perisian Pegasus mengakses kamera, mikrofon, teks mesej, maklumat penggilan telefon, e-mel dan banyak lagi. Dalam pada itu, Apple telah mengambil langkah proaktif untuk menampal kerentanan sekuriti termasuklah pada iOS 15.

Apple juga akan menghubungi pengguna yang menjadi sasaran dan telah menerima impak daripada eksploit dan perisian tersebut. Pada masa yang sama, Apple juga turut menasihati semua pengguna untuk mengemas kini ke versi iOS yang terkini.

Selain itu, Apple juga bakal menderma sebanyak $10 juta (~RM42 juta) kepada organisasi yang membuat carian dan kajian mengenai pengawasan siber ini.

Pihak NSO Group menjelaskan perisian bereksploitasi ini hanya dijual kepada pihak tentera, penguatkuasa undang-undang dan agensi risikan. Penjenayah dan pengganas adalah antara sasaran, namun berdasarkan maklumat yang terbocor pada tahun ini menyatakan penggunaan perisian intip ini telah disalah guna terhadap pengguna. Syarikat NSO Group telahpun disenarai hitam oleh kerajaan Amerika Syarikat dan tiada orgnasasi yang dibenarkan menjalin kerjasama mahupun proses jual beli.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen