Selain daripada peranti realiti terimbuh yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan, Apple juga turut ingin melancarkan kemas kini bagi fon telinga mereka. Model AirPods Pro mula dilancarkan dengan rasmi pada tahun 2019 yang hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif dan Spatial Audio. Ia telah menjadi fon telinga kegemaran pengguna dengan rekaan kecil dan mudah untuk di bawa.
Penganalisis Ming-Chi Kuo pada hari ini telah menyatakan generasi kedua bagi model AirPods Pro ini bakal dilancarkan pada suku keempat 2022. Berdasarkan tempoh tersebut, ia berkemungkinan akan diperkenalkan pada bulan Oktober dan kemudiannya dijual secara rasmi dalam minggu tersebut sama seperti generasi pertama.
Generasi kedua AirPods Pro ini bakal mempunyai rekaan baharu yang lebih kecil. Untuk generasi pertama, ia menggunakan cip pemproses Apple H1 yang membolehkan sambungan lebih pantas dan mudah untuk dicari menggunakan rangkaian Find My. Bagi generasi kedua berkemungkinan cip Apple H2 akan diperkenalkan kepada umum kelak.
Pada tahun ini, Apple telah mengeluarkan AirPods generasi ketiga yang juga hadir dengan rekaan baharu dan seakan seperti model AirPods Pro generasi pertama tanpa putik telinga bagi ciri pembatalan hingar aktif. Oleh itu, hanya tinggal model AirPods Pro sahaja yang belum dikemas kini sehingga kini.
Sumber artikel: MacRumors
Tambah Komen