Pembangunan kereta elektrik oleh Apple sememangnya heboh dikatakan sebelum ini. Menerusi laporan oleh Bloomberg pada hari ini telah melaporkan bahawa Apple merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik buatan tersendiri pada 2025 akan datang.
Apple juga dilapor telah memfokuskan kembali bagi mempercepat projek kereta elektrik ini bermula tahun lepas. Selain daripada perkakasan bagi pembangunan cip, perisian yang bakal digunakan pada kereta elektrik ini juga berasaskan ciri swapandu sepenuhnya.
Berdasarkan laporan itu, kereta elektrik buatan Apple ini tidak mempunyai stereng dan pedal minyak. Kenderaan ini akan dikawal sepenuhnya menggunakan automasi perisian. Namun dari segi keselamatan, ia berkemungkinan mempunyai mod keselamatan atau peranti seperti iPad untuk interaksi pengguna bagi mengawal kenderaan.
Dengan penjanaan elektrik, sistem pengecasan universal juga akan dibangunkan bagi membolehkan pengguna mengecas menggunakan pengecas rangkaian global.
Jika teknologi ini tidak dapat dicapai sepenuhnya, Apple mungkin menangguhkan tarikh pelancaran atau menjual kereta elektrik ini dengan ciri yang dihadkan. Pada masa yang sama juga, Apple telah mula mengambil lebih ramai pekerja bagi projek kereta elektrik ini dijalankan dengan lancar dan menepati tarikh sasaran yang ditetapkan.
Tambah Komen