Agensi perkhidmatan perisikan dan keselamatan domestik sememangnya berhak untuk mendapatkan maklumat secara sah mengenai penjenayah bagi membuat siasatan lanjut. Ini termasuklah perbualan mesej mengenai perancangan jenayah, perhubungan dengan siapa dan maklumat penting dalam perkara tersebut.
Namun, adakah sebagai pengguna umum yang menggunakan aplikasi permesejan ini berasa selamat sekiranya terdapat pihak lain boleh mengakses maklumat sulit ini mahupun secara sah? Ini sudah tentu akan menimbulkan rasa tidak selamat dan menjejas privasi serta identiti pengguna yang menggunakannya.
Terbaharu, dokumen yang dikongsikan oleh Property of the People ini memperlihatkan bagaimana agensi FBI mendapat akses kepada aplikasi permesejan sedia ada. Ini termasuklah permesejan iMessage di bawah Apple dimana FBI boleh mendapatkan akses secara terhad kepada kandungan mesej di dalam iMessage. Apple sememangnya akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk berbuat demikian oleh keputusan mahkamah berdasarkan data yang telah disandarkan pada iCloud.
Untuk WhatsApp dan Line, kandungan mesej yang terhad yang juga boleh diakses oleh agensi tersebut. Bagi aplikasi permesejan yang lain pula seperti Telegram, WeChat dan Wickr, pihak FBI tidak boleh mendapatkan sebarang kandungan mesej dan hanya maklumat lain akan diberikan seperti alamat IP, nombor telefon atau alamat e-mel sekiranya diminta.
Berbeza pula dengan Signal, aplikasi permesejan yang sememangnya popular dengan penyulitan hujung-ke-hujung dimana tiada kandungan mesej dan maklumat lanjut yang boleh diakses. Maklumat yang hanya diberikan adalah tarikh pendaftaran dan tarikh akhir digunakan oleh pengguna.
Perkara ini sememangnya agak sensitif dan tidak semua pengguna akan bersetuju mengenainya. Sudah tentu, ini semuanya terpulang kepada pilihan individu dan pengguna masing-masing.
Sumber artikel: AppleInsider
Tambah Komen