Info iPhone

Ketahui Ciri iOS Yang Dibuang Pada iPhone Mengikut Negara Asal Dijual


Setiap negara mempunyai had penggunaan yang dilaksanakan bagi kesejahteraan rakyat termasuklah syarikat yang memonopoli dan kerajaan negara tersebut, bukan sahaja dikenakan pada manusia tapi juga pada produk yang digunakan oleh manusia. Maka dengan itu, produk yang dijual di negara tersebut adalah berlainan dengan produk dari negara lain.

Tidak terkecuali juga dengan produk Apple yang dijual di negara-negara tertera di bawah, ini kerana setiap negara mempunyai syarat penguatkuasaan had penggunaan ditetapkan bagi sesuatu produk yang dijual. Bagi yang ingin membeli peranti iOS (iPhone, iPod atau iPad), anda perlu tahu ciri iOS yang tidak dapat digunakan mengikut negara di bawah:

1. Negara Jepun – Bunyi Pengatup Kamera

Peranti iOS atau peranti elektronik lain yang mempunyai kamera dan dijual di negara Jepun, kesemua produk itu tidak boleh membuat bunyi pengatup (shutter sound) menjadi senyap walaupun suis senyap (Mute Switch) di sisi iPhone telah diaktifkan atau ditolak ke bawah. Bagi peranti lain seperti iPod atau iPad, walaupun bunyi peringatan dan deringan sudah diperlahankan pada Settings > Sounds, bunyi pengatup masih akan bunyi apabila anda menangkap gambar.

Had penggunaan ini dibuat atas hasil kerjasama antara dua pihak iaitu syarikat telekomunikasi dengan syarikat pembuatan telefon untuk memastikan kesemua peranti yang dijual di negara Jepun mempunyai bunyi pengatup ketika menangkap gambar, merakam video dan tangkap skrin (screenshots). Ini adalah disebabkan menghindari perbuatan tidak senonoh dan tidak bermoral yang berlaku di kalangan masyarakat di sana.

Usaha murni ini diikuti oleh Apple sendiri dan diimplementasikan ialah untuk mengurangkan kegiatan menangkap gambar di bawah skirt pelajar perempuan dibuat oleh penyumbaleweng (pervert) di sana ketika dalam kereta api atau di tempat yang sesak. Had penggunaan seperti ini juga terdapat pada sebahagian peranti iOS yang dijual di negara Korea Selatan.

2. Negara Timur Tengah – FaceTime

Penggunaan VoIP atau voice over internet protocol ialah piawaian popular yang meliputi penggunaan panggilan suara dan video secara dalam talian. Untuk peranti iOS dan peranti macOS, kita semua boleh berhubung antara satu sama lain menggunakan ciri FaceTime Video yang mula diperkenalkan pada 7 tahun yang lalu sewaktu pelancaran iPhone 4. Kini, FaceTime telah menyokong panggilan suara sahaja iaitu FaceTime Audio yang boleh dibuat dengan menggunakan sambungan Wi-Fi bermula dari iOS 7 ke atas.

Namun, tidak bagi negara Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates, UAE) yang tidak membenarkan penggunaan VoIP ini di negara mereka. Ini kerana satu peraturan yang ditetapkan TRA (Telecommunications Regulatory Authority) bagi syarikat yang mahu menyediakan servis VoIP kepada pengguna perlu memiliki lesen untuk beroperasi. Dengan ini juga, pasaran telekom di sana ialah tidak bebas dan dikawal ketat oleh kerajaan serta dimonopoli syarikat telekomunisasi.

Terdapat juga pihak yang menyatakan kerajaan Emiriah Arab Bersatu membuat had penggunaan VoIP ini ialah untuk mengelakkan dari pengguna lelaki dan perempuan berhubung secara dalam talian dan (anda boleh fikir sendiri), cuma tidak pasti samada betul ataupun tidak tetapi sebab utama disebalik had penggunaan ini ialah berdasarkan maklumat di atas.

Selain dari negara Emiriah Arab Bersatu, negara Arab Saudi dan Pakistan juga melaksanakan had penggunaan ini yang menyekat komunikasi berasaskan dalam talian. Negara timur tengah lain yang pernah melaksanakan had penggunaan pada iPhone 4 seperti negara Mesir, Jordan, Qatar dan Kuwait telah pun membenarkan penggunaan kedua-dua FaceTime pada iPhone generasi seterusnya.

Info tambahan, negara China juga tidak membenarkan penggunaan FaceTime Audio tapi hanya membenarkan penggunaan FaceTime Video pada peranti iOS yang dijual di negara mereka.

3. Negara Korea Selatan – Find My Friends

Dengan telefon pintar, kita boleh mengetahui lokasi rakan atau ahli keluarga kita yang dikongsikan melalui aplikasi seperti Swarm ataupun Snap Map yang terdapat pada aplikasi Snapchat. Bagi pengguna iOS, kita boleh berkongsikan atau mengetahui lokasi rakan atau ahli keluarga ataupun kenalan yang dipilih dengan menggunakan aplikasi Find My Friends. Penggunaan aplikasi ini perlu menggunakan GPS dengan pengaktifkan Location Services dan juga mempunyai kawalan ibu bapa (parental controls).

Bagi negara Korea Selatan, perkongsian lokasi ini dilihat sebagai mengancam keselamatan dan membolehkan lokasi pengguna dikesan dengan mudah. Maka dengan itu, perlindungan privasi pengguna perlu ditingkatkan dengan tidak membenarkan penggunaan aplikasi Find My Friends tersebut. Jika anda membeli peranti iOS dari negara Korea Selatan, aplikasi Find My Friends tidak terdapat pada homescreen peranti dan tidak dijumpai pada App Store.

Ini kerana, kerajaan dan masyarakat negara Korea Selatan sangat mementingkan privasi sehinggakan Apple telah disaman dan dituduh kerana mengumpul maklumat data privasi serta peribadi pengguna pada tahun 2011 yang lepas. Kerajaan Korea Selatan juga telah melaksanakan undang-undang yang hanya membenarkan syarikat dengan mempunyai pusat data lokasi untuk ditawarkan servis penggunaan GPS secara sah.

 

Soalan dan jawapan:

Bagaimana pula iPhone saya dari negara lain tapi tidak boleh membuat bunyi pengatup menjadi senyap?
Mungkin pengguna sebelum ini ada menghantar ke kedai yang menawarkan penukaran nombor Model kepada negara lain supaya dapat menjualnya kembali. Bunyi pengatup masih berbunyi walaupun sudah ditukar ke negara lain

Bagaimana cara untuk tahu iPhone saya berasal dari negara mana?
Lihat panduan lengkap di sini.

Boleh tak saya format menggunakan Restore iOS di iTunes untuk dapat menggunakan ciri di atas pada peranti saya?
Tak boleh, ini disebabkan setiap ciri pada peranti sudah ditetapkan oleh Apple mengikut negara yang dijual. Tak boleh diubah oleh pengguna sendiri.

iPhone saya sering keluar ‘No Service’ dan tidak boleh digunakan dengan kad sim telco Malaysia, bagaimana cara untuk dipulihkan?
Baca punca utama bagaimana masalah ini boleh berlaku pada artikel ini.

 

Diharapkan dengan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pengguna bagi memahami kenapa terdapat had penggunaan ciri iOS pada peranti yang digunakan tetapi tidak bermaksud jika anda menggunakan salah satu peranti negara di atas ialah ‘hina’ atau pun mempunyai kekurangan dengan peranti iOS di negara lain. Masih bagus, berkualiti dan tiada masalah untuk digunakan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen