Info iOS Tutorial watchOS

Cara Menggunakan Fungsi SOS Kecemasan Pada iPhone Dan Apple Watch


Ketika menghadapi waktu kecemasan, perkara utama yang terlintas di fikiran kita ialah untuk menghubungi pihak berkuasa dan juga orang yang tersayang. Bermula dari iOS 11, Apple telah menambah satu fungsi yang sangat berguna iaitu SOS Kecemasan atau Emergency SOS. Apabila fungsi ini diaktifkan, iPhone anda secara automatik akan menghubungi talian kecemasan pihak berkuasa Malaysia iaitu Malaysian Emergency Response Services (MERS) bernombor 999.

Selain dari talian pihak berkuasa, anda juga boleh menambah kenalan penting yang akan dihubungi setelah talian 999 tamat. Kenalan akan mendapat mesej daripada iPhone anda mengenai pengaktifan kecemasan dan lokasi anda berada selagi fungsi SOS Kecemasan ini tidak dinyahaktifkan. Fungsi ini juga akan menghantar kemas kini lokasi anda sekiranya berubah dari semasa ke semasa (kes culik dan sebagainya). Semasa fungsi SOS Kecemasan ini digunakan, iPhone anda akan menyahaktifkan sistem keselamatan Touch ID untuk mengelakkan daripada orang lain mengakses peranti anda tanpa menggunakan kod laluan.

Kesemua iPhone yang menggunakan iOS 11 boleh mengaktifkan fungsi SOS Kecemasan ini berdasarkan kombinasi butang yang tertentu mengikut model iPhone yang digunakan. Bagi iPhone 7 dan sebelumnya, anda perlu menekan butang Side/Top (power) sebanyak lima kali untuk mengakses halaman SOS Kecemasan ini.

Pada iPhone 8, iPhone X dan seterusnya, anda perlu tekan dan tahan butang Side (power) pada sebelah kanan serentak dengan salah satu daripada butang bunyi kelantangan pada sebelah kiri peranti. Anda juga menggunakan cara tekan sebanyak lima kali pada butang Side dengan mengaktifkan “Also Works with 5 Clicks” atau “Call with Side Button” pada aplikasi Settings > Emergency SOS.

Setelah diaktifkan, iPhone anda akan memaparkan halaman yang mempunyai gelangsar SOS Kecemasan bersama-sama gelangsar slide to power off dan Medical ID. Secara tetap anda sendiri perlu meluncurkan gelangsar SOS Kecemasan untuk iPhone anda menghubungi talian kecemasan bagi mengelakkan dari memanggil nombor 999 secara tidak sengaja. Anda juga boleh mengaktifkan ciri “Auto-Call” untuk menghubungi talian 999 secara terus selepas sahaja fungsi SOS Kecemasan diaktifkan.

Nota: membuat panggilan palsu dan menyalahgunakan talian 999 ini adalah satu kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengaktifkan ciri Auto Call

Ciri panggilan SOS ini terdapat pada semua iPhone yang mempunyai kad sim dan menggunakan iOS 11 dan ke atas, tiada boleh dibuang atau menyahaktifkannya. Secara tetap, anda perlu mengakses halaman gelangsar SOS Kecemasan dengan menekan sebanyak lima kali pada butang Side/Top dan seterusnya meluncurkan gelangsar tersebut untuk membuat panggilan kecemasan. Jika anda mahu talian kecemasan dipanggil secara automatik dengan pantas, ikuti langkah di bawah:

1. Pergi ke Settings > Emergency SOS > aktifkan ciri Auto Call.

2. Untuk menyahaktifkan, tolak kembali butang tersebut.

Setelah ciri Auto Call diaktifkan, iPhone anda akan memulakan kiraan tiga saat dan seterusnya memanggil talian kecemasan 999 pada masa yang sama anda boleh membatalkan jika panggilan dibuat secara tidak sengaja. Anda juga boleh menyenyapkan bunyi kiraan dengan mengaktifkan “Countdown Sound” untuk mengelakkan daripada penjenayah atau penculik (contohnya) mengetahui anda telah mengaktifkan fungsi SOS Kecemasan ini.

Cara menggunakan fungsi SOS Kecemasan Apple Watch

Untuk menggunakan fungsi panggilan SOS Kecemasan pada Apple Watch, iPhone anda mestilah berada berdekatan. Jika berjauhan, Apple Watch anda perlu disambungkan ke Wi-Fi dan fungsi panggilan Wi-Fi telah diaktifkan. Di Malaysia, rangkaian telekomunikasi U-Mobile dan Digi sahaja yang menyokong fungsi ini.

1. Tekan dan tahan pada butang Side (power button) selama 3 saat.

2. Kemudian luncurkan pada gelangsar Emergency SOS untuk membuat panggilan kecemasan.

Apple Watch juga mempunyai ciri seperti Auto Call yang terdapat pada iPhone. Anda boleh mengaktifkannya atau menyahaktif bagi mengelakkan dari membuat panggilan kecemasan secara tidak sengaja melalui langkah di bawah:

1. Buka aplikasi Watch yang terdapat pada iPhone anda.

2. Pada tab My Watch pergi ke Emergency SOS.

3. Aktifkan “Hold Side Button”.

4. Untuk menyahaktifkan, tolak kembali butang tersebut.

Bagi iOS 11 dan iOS 12 (tidak silap saya), pergi ke aplikasi Watch pada iPhone > General > Emergency SOS > Hold to Auto Call.

Cara menambah kenalan kecemasan

Selain daripada talian kecemasan, anda juga boleh menambah kenalan kecemasan yang ingin dihubungi secara automatik ketika menghadapi waktu kecemasan. Kenalan kecemasan ini boleh ditambah melalui aplikasi Health.

1. Buka aplikasi Health yang terdapat pada iPhone anda.

2. Pergi ke tab Medical ID.

3. Tekan Edit.

4. Tekan pada “add emergency contact”.

Untuk iOS 11 dan ke atas, pada aplikasi Health tekan ikon pengguna/gambar anda yang berada setentang dengan teks Summary atau Browse > Medical ID > Edit. Setiap kenalan kecemasan akan menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau mesej dalam bentuk iMessage, bergantung pada keadaan internet dan jenis peranti kenalan kecemasan gunakan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen