iPhone

Apple Bakal Menambahkan iPhone 6 Dan iPhone 6 Plus Dalam Senarai Peranti Vintaj


iPhone 6 dan iPhone 6 Plus merupakan model iPhone pertama yang mempunyai dua pilihan saiz skrin iaitu 4.7-inci dan 5.5-inci. Perkara ini sememangnya dinantikan oleh pengguna yang mahukan iPhone dengan skrin besar selepas model iPhone 5, iPhone 5c dan iPhone 5s dengan skrin bersaiz 4.0-inci.

Kini, menerusi memo sulit dijumpai oleh MacRumors, Apple dikatakan bakal menambahkan kedua-dua model iPhone ini untuk dikategorikan sebagai peranti vintaj bermula 31 Disember 2021. Baik-pulih peranti vintaj masih boleh dilakukan sehingga tujuh tahun daripada tarikh dikategorikan melalui Apple Store dan Penyedia Perkhidmatan Berdaftar Apple (AASP). Dengan itu pengguna masih boleh menghantarkannya sekiranya mengalami kerosakan berdasarkan bekalan komponen sedia ada.

Kedua-dua model ini mula dilancarkan pada 2014 dan penjualan bagi iPhone 6 Plus dihentikan pada 2016 manakala iPhone 6 dijual sehingga tahun 2018 mengikut negara dan daerah yang terpilih. Kontroversi mula hangat apabila terma “bendgate” muncul disebabkan bahan aluminium pada kedua-dua model ini sangat nipis dan boleh dibengkokkan dengan tangan sahaja.

Sokongan iOS pada iPhone 6 dan iPhone 6 Plus juga merupakan antara yang paling lama iaitu sehingga lima tahun. Dilancarkan bersama iOS 8, pengguna boleh membuat kemas kini sehingga iOS 12.5.5 terkini yang baru sahaja dikeluarkan pada bulan September lepas.

Di Malaysia, ia dijual pada harga:

iPhone 6

  • 16GB – RM 2,399
  • 64GB – RM 2,749
  • 128GB – RM 3,149

iPhone 6 Plus

  • 16GB – RM 2,749
  • 64GB – RM 3,149
  • 128GB – RM 3,549

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen