Berita iPad

Apple Memperkenalkan iPad Pro Baharu Dengan Pengimbas LiDAR Dan Aksesori Kerangka Papan Kekunci Magic Bercahaya


Setelah beberapa hari dengan khabar angin yang dihebahkan, Apple hari ini secara rasminya telah memperkenalkan model iPad Pro yang baharu. Kemas kini yang terdapat pada iPad Pro baharu ini hadir dengan pengimbas LiDAR termasuklah spesifikasi dalaman dan luaran yang dinaik tarafkan.

Masih mengekalkan rekaan sebelum ini, paparan skrin hadapan Liquid Retina bersaiz 11-inci dan 12.9-inci kini dilengkapi dengan teknologi ProMotion 120Hz untuk memberikan pengalaman menatal dan melukis yang lebih lancar serta responsif.

Bagi spesifikasi dalaman pula, model iPad Pro baharu ini dikuasakan dengan cip pemprosesan A12Z Bionic. Mempunyai 8-teras CPU dan 8-teras GPU dengan Apple Neural Engine, ia menawarkan jangka hayat bateri sehingga 10 jam dan penggunaan LTE sehingga 60% lebih pantas.

Modul kamera juga telah diperbaharui yang dilengkapi dengan pengimbas LiDAR terbina untuk realiti terimbuh dan pengesanan 3D. Ia juga turut mempunyai rekaan dwi-kamera yang masing-masing mempunyai lensa lebar 12MP dan lensa ultra-lebar 10MP dengan kebolehan zum sehingga lima kali.

Selain itu, Apple juga turut memperkenalkan aksesori kerangka papan kunci yang mempunyai pad sesentuh terbina termasuklah kekunci bercahaya apabila dinyalakan seperti papan kekunci yang terdapat pada model komputer MacBook. Menurut Apple, papan kekunci ini mempunyai port USB-C pada bahagian engsel yang boleh digunakan untuk mengecas termasuklah sambungan pemacu storan luaran dan paparan monitor.

Kemas kini iPadOS 13.4 bakal dilepas secara rasmi pada Mac ini dengan sokongan pad sesentuh bagi membolehkan penggunannya pada model iPad Pro sebelum ini dan yang baharu. Pembelian secara rasmi bagi papan kekunci baharu ini akan dilancarkan pada bulan Mei.

Tanda harga bagi tablet ini bermula dari RM3499 bagi model 11-inci untuk model Wi-Fi dan RM4149 untuk WiFi+Selular. Bagi saiz 12.9-inci pula dijual bermula dari RM4399 untuk model WiFI dan RM5049 untuk WiFi+Selular. Kesemua model dijual dengan pilihan storan bermula dari 128GB hingga 1TB.

Sumber: Apple | Laman jualan Apple


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen