Berita iPhone

Dua Prototaip iPhone Boleh-Lipat Dilaporkan Telah Melepasi Ujian Ketahanan


Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Economic Daily News melaporkan Apple kini sedang melakukan ujian awal bagi dua prototaip iPhone dengan skrin boleh-lipat. Sistem engsel bagi dua prototaip iPhone yang direka oleh Apple telah melepasi ujian ketahanan yang dilakukan di kilang Foxconn terletak di Shenzhen, China.

Prototaip yang pertama ialah berdasarkan dua skrin yang disambungkan dengan sistem engsel di tengah. Prototaip dwi-skrin ini ialah seperti buku dan boleh menjadi sebagai satu skrin yang besar apabila ia dibuka. Bagi prototaip yang kedua pula ialah sistem clamshell boleh-lipat yang seakan sama seperti Motorola RAZR. Apple juga dijangka bakal menggunakan skrin OLED fleksibel yang dihasilkan oleh Samsung.

Tidak dipastikan samada ujian ketahanan dilakukan berulang kali pada kedua-dua prototaip tersebut. Menurut laporan itu lagi, ujian awal ini telahpun selesai dan akan dinilai diantara kedua-dua prototaip, hanya satu sistem sahaja yang bakal dibawa untuk pembangunan seterusnya.

Jika kesemuanya berjalan dengan lancar, Apple dilaporkan bakal melancarkan iPhone boleh-lipat ini sekurang-kurangnya pada akhir tahun 2022 atau seawal tahun 2023. Sejak 2016 lagi Apple mula mempatenkan beberapa sistem boleh-lipat yang dilihat bakal dilancarkan untuk model iPhone akan datang.

Sumber artikel: Economic Daily News menerusi MacRumors

Gambar konsep : Ben Geskin


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen