AirPods

Apple AirPods Generasi Ketiga Dilancarkan – Rekaan Seperti AirPods Pro Dan Berharga RM829


Pada acara khas Unleashed hari ini, Apple telah memperkenalkan model AirPods yang baharu. Apple AirPods generasi yang ketiga kini hadir dengan rekaan serba baharu dan bersaiz kompak serta mini yang memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana sahaja.

Berasaskan rekaan AirPods Pro, model AirPods ini tidak mempunyai bahagian getah putik telinga dan tidak berasaskan fon dalam telinga. Bagi rekaan kerangka pengecas juga seakan sama seperti model AirPods Pro dan juga mempunyai sokongan pengecasan nirwayar melalui MagSafe. Port Lightning masih dikekalkan untuk mengecas secara berwayar.

Dari segi spesifikasi, AirPods generasi ketiga ini dijana oleh cip H1 dengan sistem Adaptive EQ. Pengguna boleh mendengarkannya dengan ciri Spatial Audio termasuklah audio Dolby Atmos. Sokongan codec AAC-ELD memberikan audio yang berkualiti tinggi dan percakapan yang lebih jelas ketika membuat panggilan FaceTime.

Dari segi ketahanan bateri, ia menawarkan penggunaan berterusan selama 6 jam atau 5 jam dengan penggunaan ciri Spatial Audio. Dengan kerangka pengecas, AirPods baharu ini boleh bertahan sejumlah 30 jam pendengaran audio. Kesemua fon telinga dan kerangka pengecas mempunyai perlindungan IPX4 yang mampu menahan daripada peluh dan percikan air.

Bagi yang berminat, Apple AirPods generasi ketiga ini dijual pada harga RM829 bagi pasaran Malaysia. Buat masa ini, masih belum ada sebarang tarikh jualan rasmi yang diumumkan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen