Acara Khas Apple Mac

MacBook Pro Generasi Baharu Diperkenalkan Dengan M1 Pro, MagSafe Dan Skrin 120Hz Bertakuk


Selepas memperkenalkan cip pemprosesan generasi seterusnya, Apple juga turut melancarkan siri komputer MacBook untuk golongan profesional. MacBook Pro 14.2-inci dan MacBook Pro 16.2-inci adalah model baharu dengan rekaan serba lain dan lebih berkuasa daripada model sebelum ini.

Rekaan kedua-dua model ini dilihat seakan seperti menyerupai PowerBook G4 yang pernah Apple lancarkan sewaktu ketika dahulu. Port pengecas MagSafe kini kembali menghiasi bahagian sisi kiri komputer serta port sambungan HDMI pada sisi kanan. Sebanyak tiga port usb Thunderbolt 4 bagi mengecas dan membuat pemindahan data termasuklah bicu audio.

Pada bahagian papan kekunci kini diwarnakan dengan warna hitam dan juga turun mempunyai kekunci fizikal yang menggantikan Touch Bar. Untuk bahagian skrin, ia dilengkapi dengan mini-LED yang menyokong kadar segar semula ProMotion 120Hz dan boleh mencapai kecerahan 1600 nits. Rekaan bezel skrin kini lebih nipis dan juga turut mempunyai takuk pada bahagian atas skrin namun tidak dilengkapi dengan Face ID, ia hanya untuk menempatkan kamera web 1080p.

Pengguna boleh memilih konfigurasi bagi model MacBook Pro 16-inci yang dijana cip Apple M1 Pro dengan memori sehingga 32GB RAM atau cip Apple M1 Max dengan memori sehingga 64GB RAM. Menurut Apple, penggunaan cip ini membolehkan suntingan video 8K dilakukan tanpa menggunakan pengecas dan ketahanan bateri sehingga 17 jam bagi model 14.2-inci dan 21 jam bagi model 16.2-inci. Ia juga turut menyokong pengecasan pantas sebanyak 50% dalam masa 30 minit.

Ciri Neural Engine yang terdapat pada cip M1 Pro dan M1 Max menjadikan video panggilan lebih berkualiti dan menepati warna persekitaran. Dari segi audio, sebanyak enam pembesar suara yang menjanjikan pengalaman seperti di teater dan sokongan Spatial Audio melalui Dolby Atmos. Untuk mikrofon kini lebih berkualiti dan jelas untuk panggilan atau membuat rakaman suara.

Bagi yang berminat, model MacBook Pro 14.2-inci dijual bermula dari harga RM8,799 dan RM10,799 bagi model MacBook Pro 16.1-inci. Kedua-dua boleh boleh dikonfigurasi samada cip M1 Pro atau M1 Max dengan pilihan memori sehingga 64GB RAM termasuklah storan sehingga 8TB SSD.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen