iOS iPhone

iOS 15.1 Dikeluarkan Dengan Ciri SharePlay Dan ProRes


Setelah mengeluarkan kemas kini marginal iOS 15.0.1 dan iOS 15.0.2 pada beberapa minggu lepas, Apple hari ini telah mengeluarkan kemas kini utama iaitu iOS 15.1 kepada umum. Kemas kini ini membawakan pelbagai ciri baharu serta beberapa penambahbaikan prestasi dan tampalan pepijat.

Ciri SharePlay kini boleh diaktifkan bagi perkongsian tontonan kandungan melalui FaceTime. Samada secara berdua atau berkumpulan, pengguna boleh menonton media kegemaran dan berkongsinya secara mudah. Buat masa ini, aplikasi yang menyokong ciri ini ialah Apple Music, Apple TV+, Disney+, ESPN+ dan TikTok. Pengguna perlu memastikan peranti yang digunakan telah dikemas kini kepada iOS 15.1, iPadOS 15.1 macOS Monterey dan tvOS 15.1.

Bagi yang menggunakan model iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max, ciri ProRes kini boleh diaktifkan untuk mod rakaman video yang berkualiti tinggi. Penggunaan mod ini akan memerlukan ruang storan yang banyak disebabkan saiz fail rakaman yang besar. Ciri ini hanya boleh digunakan pada iPhone 13 Pro atau Pro Max dengan storan 256GB, 512GB dan 1TB sahaja.

Pada kamera, mod makro kini boleh diaktifkan secara kawalan manual. Ini kerana terdapat pengguna yang melaporkan mod makro terus diaktifkan apabila objek berada dekat ketika merakam video.

Sokongan sijil vaksinasi Covid-19 digital kini boleh dipaparkan melalui aplikasi Wallet. Selain itu, terdapat tampalan pepijat di dalam kemas kini ini.

Kemas kini utama ini adalah sangat disarankan untuk dibuat sekiranya peranti anda terdapat masalah yang tidak boleh diatasi dengan cara lain. Ini juga bagi yang mahu mencuba ciri SharePlay dan ProRes pada peranti masing-masing.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen