Aksesori

Beats Fit Pro Dilancar Bercirikan ANC, Cip H1 Dan Spatial Audio


Syarikat subsidiari Apple, Beats by Dr Dre pada hari ini telah melancarkan set fon telinga mereka yang baharu. Beats Fit Pro direka khas bagi pengguna yang gemar melakukan aktiviti senaman dan senantiasa aktif dengan bercirikan seakan AirPods Pro.

Dengan rekaan jenis dalam telinga, Beats Fit Pro mempunyai ‘sayap’ kecil yang diletakkan pada bahagian cuping telinga. Dengan ini, ia akan senantiasa kekal berada di telinga dan tidak mudah jatuh. Getah putik telinga juga boleh ditukar ganti mengikut saiz telinga pengguna. Fon telinga ini juga mempunyai nilan IPX4 untuk kalis peluh dan bilasan air.

Sama seperti AirPods Pro, fon telinga ini juga menyokong ciri Spatial Audio dan pembatalan hingat aktif (ANC) yang dikuasakan dengan cip Apple H1. Kawalan audio juga boleh diselaraskan pada bahagian sensor sesentuh sisi putik. Ia juga menyokong sambungan dua peranti serentak termasuklah kawalan suara Hey Siri.

Beats Fit Pro didatangkan dengan bekas simpanan yang juga digunakan untuk mengecas dengan sambungan USB-C. Dari segi ketahanan bateri, pengecasan satu kali membolehkan ia beropersi antara 6 jam sehingga 24 jam dengan menggunakan bekas simpanan tersebut.

Buat masa ini, Beats Fit Pro hanya ditawarkan di beberapa buah negara yang terpilih sahaja. Terdapat empat pilihan warna iaitu hitam, putih, kelabu dan ungu dan berharga $200 (dalam lingungan RM825).


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen