AirPods

AirPods Pro Generasi Kedua Dilapor Bakal Dilancarkan Pada Suku Ketiga Tahun 2022


Selepas sahaja Airpod generasi ketiga yang dilancarkan pada bulan lepas, kini AirPods Pro pula dilapor bakal dikemas kini kelak. Berdasarkan maklumat tertiris, AirPods Pro generasi kedua dijangka bakal diperkenalkan pada tahun hadapan.

Maklumat ini dikongsikan oleh @FronTron yang menjelaskan fon telinga milik Apple ini bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun hadapan iaitu antara bulan Julai hingga September. Menurut beliau, maklumat ini disampaikan secara langsung daripada pembekal kepada beliau. Penganalisa lain seperti Mark Gurman dan Ming-Chi Kuo juga ada menyatakan AirPods Pro bakal dikemas kini tetapi tidak menyatakan secara spesifik bila ia akan dilancarkan.

AirPods Pro generasi kedua ini dijangka mempunyai ciri yang seakan sama seperti AirPods generasi ketiga dengan beberapa penambahbaikan seperti ciri sensor pergerakan bagi penjejakan kesihatan. Ini juga termasuklah bekas pengecas tahap IPX4 kekalisan air dengan sokongan pengecasan MagSafe seperti yang terdapat pada AirPods 3.

Sudah tentu, maklumat ini adalah sebagai khabar angin sahaja. Bagi pengguna yang mahu membeli AirPods Pro, waktu yang sesuai ialah di antara sekarang hingga bulan Mei tahun hadapan.

Sumber artikel: MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen