Apple

Penjualan Komponen Tulen Untuk Program Baik-Pulih Kendiri Apple Bakal Diuruskan Oleh Pihak Ketiga


Pada minggu lepas, Apple telah memperkenalkan program baik-pulih kendiri atau Self Service Repair yang membolehkan pengguna untuk membaiki sendiri peranti yang dimiliki. Program ini bakal dimulakan di Amerika Syarikat dan bakal diperluaskan untuk negara-negara lain bermula tahun hadapan. Barisan peranti yang disokong pada program ini ialah bermula dari siri model iPhone 12 dan iPhone 13 serta model komputer Mac dengan cip M1 dan seterusnya.

Menerusi memo sulit, Apple telah memberikan penjelasan mengenai program ini dengan lebih lanjut. Buku panduan untuk membaiki bakal tersedia untuk diakses pada laman web Apple Support, lokasi pengguna yang ingin mengakses maklumat ini bakal diminta untuk proses membuat pra-tempahan komponen peranti yang ingin dibaiki.

Memo Apple itu juga menyatakan kedai dalam talian untuk menjual komponen ini akan diuruskan oleh pihak ketiga. Ini mungkin adalah untuk memudahkan Apple bagi menguruskan komponen dan proses penghantaran serta penerimaan daripada pengguna mengikut negara dan daerah. Maklumat lengkao bakal disampaikan sebelum program ini dilancarkan dengan rasmi.

Bagi di Malaysia, wakil penjual rasmi yang mempunyai Penyedia Perkhidmatan Berdaftar Apple (AASP) adalah berkemungkinan yang bakal menguruskan penjualan komponen ini untuk pasaran tempatan. Syarikat ini sudahpun mula membuat baik-pulih peranti yang menggunakan komponen tulen daripada Apple sendiri.

Program ini juga memfokuskan kepada individu yang mahir dan mempunyai pengalaman untuk membaiki sesuati peranti elektronik. Komponen yang bakal dijual ialah modul skrin, bateri dan kamera peranti-peranti di atas.

Sumber artikel: MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen