Apple sememang ingin bersaing dalam pasaran realiti terimbuh dengan pesaing yang lain. Ramai beranggapan dengan penyertaan oleh Apple akan membuka kepada penggunaan teknologi ini dengan lebih meluas. Terbaharu, penganalisis Mark Gurman dari Bloomberg telah memberikan satu dua kata mengenai perancangan Apple untuk peranti realiti terimbuh buatan sendiri tersebut.
Menurut beliau, peranti realiti terimbuh dan realiti maya yang bakal dihasilkan oleh Apple ini akan memfokuskan kepada permainan, kandungan media dan komunikasi. Tiga perkara ini adalah keutamaan Apple untuk produk ini sebelum ia diperkenalkan pada tahun hadapan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Penganalisis Ming-Chi Kuo sebelum ini melaporkan bahawa peranti realiti terimbuh Apple ini akan menggantikan iPhone dalam masa 10 tahun akan datang. Dalam pada itu, Mark Gurman juga beranggapan perkara yang sama tetapi menolaknya dengan memperjelaskan bahawa generasi pertama peranti ini tidak menggantikan iPhone, iPad dan Mac.
Sama seperti produk dan aksesori Apple yang lain, iPhone adalah merupakan ‘otak’ kepada proses penyambungan, pendaftaran di bawah akaun Apple ID dan menyelaraskan kepenggunaannya. Tanpa iPhone, ciri dan fungsi produk tersebut adalah terhad dan tidak mungkin ia akan menggantikan iPhone ketika pelancaran bagi generasi pertama.
Berdasarkan laporan oleh Ming-Chi Kuo di atas, peranti oleh Apple ini akan menggunakan cip pemprosesan yang setanding dengan cip M1 pada Mac. Dari segi rekaan dan perkakasan, ia dilaporkan mempunyai paparan dua skrin Mikro LED pada bahagian dalam dengan resolusi 4K. Bagi memudahkan si pemakai, sebanyak lapan kamera terbina bagi memudahkan pengguna untuk melihat dengan imej tembus.
Masih lagi tidak dipastikan samada perancangan Apple ini bakal menjadi realiti mahupun tidak. Sama-sama kita melihat pada tahun hadapan dan akan datang.
Sumber artikel: MacRumors
Tambah Komen