Pada bulan April tahun ini, Apple telah memperkenalkan satu ciri baharu untuk panggilan FaceTime yang dinamakan sebagai Center Stage. Ciri ini membolehkan kamera hadapan mengikuti pergerakan individu termasuklah zum dekat atau zum jauh dengan menggunakan pembelajaran mesin.
Kini, Apple pula telah mempatenkan penggunaan yang sama tetapi diimplementasikan pada skrin komputer. Bertajuk “Self-Actuating Hinge Mechanism for Electronic Device“, skrin komputer akan diselaraskan dengan tersendiri berpandukan wajah pengguna tanpa apa-apa bantuan oleh pengguna. Dengan ini, pengguna tidak lagi perlu untuk menyelaraskan skrin komputer bagi mendapatkan sudut pandangan yang terbaik.
Paten tersebut juga menyatakan skrin komputer boleh dibuka secara automatik. Berkemungkinan, pengguna hanya perlu menepuk pada bahagian skrin MacBook ketika tertutup untuk ia dibuka secara automatik. Implementasi teknologi ini sememangnya memerlukan penggunaan pembelajaran mesin dan sensor pada komputer.
Sudah tentu, ini hanyalah sebuah paten tetapi ia tidak mustahil untuk digunakan pada MacBook di masa akan datang.
Sumber artikel: AppleInsider
Tambah Komen