MacBook Pro 2021 yang diperkenalkan pada bulan Oktober lepas ialah model MacBook Pro 14.2-inci dan 16.2-inci yang mengembalikan beberapa sambungan terbina seperti HDMI dan MagSafe 3. Ini termasuklah pembaca kad sd yang kali terakhir didapati pada model tahun 2015 lepas.
Kini, terdapat sebahagian pula pemilik kedua-dua model MacBook Pro ini yang melaporkan masalah pembaca kad sd yang tidak berfungsi dengan baik. Antara masalah yang terjadi ialah kad sd tidak boleh diakses, kelajuan pemindahan data yang perlahan, kerosakan sistem Finder ketika pemindahan dan akses ke dalam kad sd memerlukan masa yang agak lama.
Masalah ini juga tidak berkaitan dengan jenama, format, storan dan jenis kad sd. Kesemua mempunyai masalah untuk dibaca menggunakan sambungan kad sd terbina pada model MacBook Pro tersebut. Untuk mencari alternatif, ada pengguna yang menggunakan pembaca kad sd dengan dongel USB-C dan ia boleh dibaca serta pemindahan data berfungsi dengan baik.
Terdapat pengguna yang melaporkan kepada Apple dan diberitahu terdapat kemas kini akan datang yang akan menyelesaikan masalah ini. Terdapat juga pengguna yang mendapatkan gantian bagi model MacBook Pro mereka dan tidak lagi mengalami masalah sebegini.
Tidak dipastikan samada masalah ini terjadi pada sebahagian model MacBook Pro ataupun masalah sistem operasi macOS Monterey. Diharapkan Apple dapat mengatasi masalah ini secepat yang mungkin.
Sumber artikel: MacRumors
Tambah Komen