Acara Khas Apple Mac

MacBook Pro Berasaskan Cip Apple M1 Diperkenalkan – Bermula Dari RM5599


Selain daripada MacBook Air dan Mac mini yang dikuasakan dengan cip pemprosesan Apple M1, Apple juga turut memperkenalkan siri komputer riba mereka yang kedua iaitu MacBook Pro dijana dengan cip tersebut. Bagi permulaan, model MacBook Pro 13-inci dipilih bagi siri komputer Mac dibawah Apple Silicon ini.

MacBook Pro baharu ini dijana oleh cip pemprosesan Apple M1 5nm yang berasaskan sistem Arm yang menawarkan sejumlah peningkatan prestasi berbanding model generasi sebelum ini. Menurut Apple, peningkatan prestasi GPU ialah 5 kali ganda lebih pantas bagi menjaminkan penggunaan yang lebih lancar dan stabil.

Dari segi jangka hayat bateri, MacBook Pro ini mampu bertahan sehingga 20 jam bagi tontonan video dan 17 jam bagi penggunaan melayari laman web. Ini sekali memberikan penjimatan tenaga apabila dikuasakan oleh Apple M1. Dari segi rekaan pula, ia masih mengekalkan rekaan yang sama akan tetapi hanya terdapat dua sambungan Thunderbolt / USB 4 sahaja berbanding tiga sambungan sebelum ini.

Bagi yang berminat, MacBook Pro ini ditawarkan dengan dua pilihan konfigurasi dan setiapnya boleh ditingkatkan penggunaan memori sehingga 16GB serta storan sehingga 2TB. Pengguna boleh mendapatkannya bermula dari RM5599 sehingga RM9599 mengikut konfigurasi tersendiri.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen