Acara Khas Apple Mac

MacBook Air Berasaskan Cip Apple M1 Diperkenalkan – Bermula Dari RM4399


Dalam pengumuman hari ini, Apple telah mengumumkan cip pemprosesan pertama yang dibangunkan sendiri oleh mereka iaitu Apple M1. Pada masa yang sama juga turut mengumumkan senarai komputer Mac yang menggunakan cip pemprosesan tersebut, oleh itu MacBook Air diumumkan sebagai produk yang pertama dikuasakan oleh Apple M1.

MacBook Air yang baharu ini dijana oleh cip pemprosesan Apple M1 yang berasaskan sistem Arm yang menawarkan sejumlah peningkatan prestasi berbanding model generasi sebelum ini. Menurut Apple, sokongan bateri MacBook Air ini boleh bertahan sehingga 18 jam bagi penjimatan tenaga apabila dikuasakan oleh Apple M1.

Selain itu, penggunaan Apple M1 juga membolehkan MacBook Air ini beroperasi secara senyap dan tanpa perlu menggunakan kipas dalaman bagi menyejukkannya. Apabila panel skrin dinaikkan, sistem operasi diaktifkan serta merta dan boleh digunakan secara terus, sama seperti ketika menekan butang kuasa / Side pada iPhone.

MacBook Air ini dilengkapi dengan papan kekunci Magic Keyboard yang berasaskan mekanisme gunting yang diperkenalkan pada MacBook Pro 16-inci sebelum ini. Rekaannya masih mengekalkan reka bentuk semula yang dilakukan sejak dua tahun lepas dengan dua port Thunderbolt / USB 4 dan skrin bersaiz 13.3-inci. Sistem operasi macOS Big Sur telah dioptimasikan untuk Apple M1 ini bagi penggunaan yang lancar dan stabil.

Bagi yang berminat, pengguna boleh memilih dua pilihan spesifikasi dengan pilihan memori yang ditawarkan sehingga 16GB termasuklah storan sehingga 2TB yang bermula dari RM4399 sehingga RM8599 mengikut konfigurasi masing-masing.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen