Apple hari ini telah memperkenalkan sistem operasi untuk komputer Mac baharu iaitu macOS High Sierra 10.13. Sistem operasi ini masih menggunakan nama bukit yang terdapat di California dan seakan sama seperti macOS Sierra 10.12 yang dikeluarkan pada tahun lepas. macOS High Sierra ini boleh dimuat turun pada komputer yang menyokong macOS Sierra sebelum ini.
Untuk macOS High Sierra ini telah hadir dengan sistem fail terbaru iaitu APFS atau Apple File System yang menggantikan sistem fail HFS+ sebelum ini. Dengan APFS ini, komputer Mac anda akan lebih pantas untuk pengurusan fail dan juga lebih selamat untuk digunakan. Selain itu, dalam High Sierra juga terdapat HEVC (High Efficiency Video Coding, yang juga dipanggil sebagai H.265) yang membolehkan fail video dimainkan dengan lebih lancar, mengurangkan penggunaan storan dan mengekalkan kualiti yang sama.
Safari pada macOS High Sierra juga turut mempunyai AutoPlay Blocking, Intelligent Tracking Prevention dan lain-lain. Aplikasi Mail juga turut menyokong ‘split view’, aplikasi Photos dengan alat penyunting baharu dan Metal 2 dengan sokongan external graphic card dan VR.
Seperti iOS 11 juga, macOS High Sierra 10.13 ini hanya boleh dimuat turun oleh pembangun bermula hari ini manakala pengguna Public Beta boleh memuat turun pada akhir bulan ini dan untuk pengguna umum, macOS High Sierra 10.13 akan dilepaskan secara rasmi sekurangnya pada bulan Oktober ini.
Tambah Komen