iPod, peranti pemain media mudah alih yang dibangunkan oleh Apple telah berjaya mengubah industri muzik dan produk mp3 pada tahun 2001 sehinggalah sekarang. Menerusi iPod generasi pertama atau iPod classic yang dihentikan pada tahun 2004, terdapat beberapa pecahan model selepasnya antara ialah iPod mini, iPod nano, iPod shuffle dan iPod touch.
Hari ini, Apple telah menamatkan dua ahli keluarga iPod iaitu iPod nano dan iPod shuffle dengan rasminya. Dengan ini juga, laman iPod nano dan iPod shuffle telah dibuang pada laman web rasmi dan laman jualan rasmi Apple, bermaksud pengeluaran dan penjualan pemain media mudah alih ikonik ini dihentikan dengan serta merta.
Apple telah mengemaskini buat kali terakhir untuk iPod nano pada Oktober 2012 dan iPod shuffle pada September 2010 dari segi perubahan warna terbaru dan juga kapasiti storan. iPod shuffle mula diperkenalkan pada Januari 2005, diikuti dengan iPod nano pada September 2005. Terdapat tujuh generasi iPod nano dan empat generasi iPod shuffle yang telah dijual di pasaran.
Penjualan iPod merosot dan jatuh dari tahun ke tahun sebelum ini. Apple dilaporkan telah menjual sebanyak 2.6 juta peranti iPod pada suku keempat tahun 2014. Sejak dari itu, Apple telah meletakkan penjualan iPod dalam kategori “Other Products” apabila mengumumkan pembentangan kewangan mereka. Penjualan iPod mencapai 54.8 juta pada tahun 2008, berbanding 14.3 juta pada tahun 2014.
Kejayaan iPod ialah ia mula diperkenalkan pada tahun 2001 oleh Steve Jobs yang telah membantu Apple membina semula menjadi syarikat teknologi paling berjaya di dunia. Namun, selepas iPhone mula dilancarkan pada tahun 2007, permintaan iPod nano dan iPod shuffle mula menurun.
Hanya satu peranti iPod sahaja yang dijual di pasaran sekarang ini iaitu iPod touch. Apple juga telah mengemaskini pilihan storan iPod touch dengan menggandakannya kepada 32GB dan 128GB, sebelum ini iPod Touch terdapat dalam variasi storan 16GB, 32GB, 64GB dan 128GB.
Bagi yang berminat untuk membeli iPod nano dan iPod shuffle ini, bekalan stok lama masih lagi ada dijual di Apple Authorized Premium Reseller (AASP) atau wakil penjual rasmi Apple tetapi adalah terhad. Mungkin akan ada penjualan penghabisan ataupun penurunan harga yang dijual menerusi wakil penjual masing-masing.
Tambah Komen