Dalam acara khas yang berlangsung pada hari ini, Apple mula memperkenalkan produk baharu mereka kepada umum bermula dengan Apple Watch. Apple Watch Series 7 kini rasmi dengan masih mengekalkan rekaan luaran dan rupa bentuk yang sama seperti model sebelum ini.
Perubahan yang ketara ialah skrin Apple Watch Series 7 kini menawarkan 20% lebih paparan dengan bezel yang lebih nipis. Dengan ini paparan skrin adalah lebih besar dan maklumat yang dipaparkan tampak seperti meliputi bahagian kelompang badan Apple Watch. Oleh itu, Apple Watch Series 7 didatangkan dengan dua pilihan saiz iaitu 41mm dan 45mm.
Bahagian skrin hadapan juga direka semula dengan kaca yang lebih tahan dan sudut geometri yang kukuh dengan 50% lebih tebal berbanding Apple Watch Series 6. Apple Watch Series 7 juga diiktiraf dengan nilai IP6X untuk kalis habuk menjadikan ia lebih tahan untuk persekitaran seperti pantai mahupun padang pasir. Nilai WR50 masih dikekalkan untuk ketahanan air. Ciri kesihatan seperti ECG, sensor oksigen dalam darah boleh digunakan pada model baharu ini.
Menurut Apple, Apple Watch Series 7 menawarkan ketahanan bateri selama 18 jam sehari termasuklah 33% pengecasan yang lebih pantas berbanding model sebelum ini. Bagi model kali ini, Apple Watch Series 7 didatangkan dengan dua bahan kelompang iaitu aluminium dan keluli tahan karat. Bagi aluminium, edisi biasa dan Nike masih lagi dijual seperti biasa. Tali jam daripada model sebelum ini juga masih boleh digunakan seperti biasa.
Penjualan Apple Watch pada tahun ini meliputi model Apple Watch Series 7, Apple Watch SE dan Apple Watch Series 3. Bagi yang berminat, Apple Watch Series 7 dijual bermula dari harga RM1,749 sehinggalah RM3,499 mengikut tetapan tali jam dan bahan kelompang pilihan masing-masing.
Tambah Komen