Aplikasi permesejan popular dan percuma, Telegram pada hari ini telah mengumumkan laman khas bagi pengiklanan dan ujian telah dilakukan pada servis permesejan ini. Melalui laman tersebut, Telegram telah menyertakan beberapa syarat dan peraturan serta polisi yang perlu diikuti oleh syarikat yang berminat.
Menurut Telegram, pengiklanan berbentuk “Mesej Tajaan” atau “Sponsored Messages” yang bakal digunakan buat masa ini. Saluran Telegram berkategorikan awam dan mempunyai lebih daripada 1,000 pelanggan bakal dipaparkan iklan melalui platform ini. Pengiklanan ini juga terhad kepada 160 patah perkataan sahaja.
Bagi menjaga privasi pengguna, setiap iklan yang ingin dipaparkan perlu disemak terlebih dahulu oleh pihak Telegram. Oleh itu, sebarang jenis penjejakan tidak dilakukan dan sebarang pautan luar melalui pihak ketiga adalah tidak dibenarkan. Iklan yang dipaparkan juga tidak berasaskan kepada aktiviti pengguna dan syarikat pengiklanan boleh memilih jenis dan versi saluran yang memenuhi kehendak mereka mahupun sebaliknya.
Setiap hasil kewangan yang dijana melalui iklan tersebut bakal dikongsikan kepada pengendali saluran apabila servis pengiklanan ini dilancarkan sepenuhnya kelak.
Sumber artikel: Telegram
Tambah Komen