Satu laporan terbaru oleh Wall Street Journal (WSJ) mengatakan Apple mungkin akan menggantikan port Lightning kepada USB-C untuk iPhone yang bakal dikeluarkan pada tahun ini. Port Lightning merupakan ciptaan oleh Apple sendiri yang mula diperkenalkan dan digunakan pada iPhone 5 tahun 2012 bagi menggantikan port 30-pin yang diperkenalkan dan digunakan pada tahun 2007 bermula dari iPhone 2G seterusnya hingga ke iPhone 4s.
Laporan tersebut juga ada menyebut khabar angin yang Apple akan menggunakan skrin melengkung OLED bersaiz sebesar 5.8 inci dengan bezel nipis, menghilangkan Home Button/Touch ID yang mungkin akan menggunakan teknologi pengimejan akustik yang membolehkan cap jari dibaca secara terus apabila disentuh pada skrin.
Menurut khabar angin sebelum ini, Apple mungkin mengeluarkan 3 model peranti iPhone untuk tahun ini bermula dengan iPhone 7s, iPhone 7s Plus dan iPhone 8. iPhone 8 dikatakan lebih ‘istimewa’ sempena ulang tahun iPhone ke-10 tahun ini yang akan menggunakan ciri dan teknologi yang dikhabarkan di atas manakala iPhone 7s dan iPhone 7s Plus dikhabarkan masih menggunakan reka bentuk yang sama seperti iPhone 7 dan iPhone 7 Plus sebelum ini dan hanya menerima kemas kini kecil seperti model ‘S’ sebelum ini (chip pemprosesan baharu, RAM dan sebagainya).
Penggunaan USB-C oleh Apple mula diimplementasi pada komputer Macbook 12 inci tahun 2015 dan yang terbaru pada komputer Macbook Pro yang diperkenalkan pada tahun lepas. Penggunaan ini mungkin akan diperluaskan untuk peranti iOS yang lain seperti peranti iPad.
Sama-sama kita nantikan pada bulan September ini.
Sumber: WSJ | Gambar Konsep: Martin Hajek
Tambah Komen