App Store Apple Music iCloud Tutorial

Cara Menukar Kaedah Pembayaran App Store, iCloud Dan Apple Music Kepada Bil Telekomunikasi


Sewaktu ketika dahulu, sebarang pembelian digital seperti pada App Store, iTunes Store yang dilakukan perlulah menggunakan kaedah pembayaran kad kredit atau kad debit yang telah didaftarkan sewaktu membuat akaun Apple ID. Hal ini juga membuatkan sebahagian pengguna membeli kad Digital iTunes Gift Cards sebagai pembayaran alternatif.

Kini, pembelian di App Store, iTunes Store, Apple Music dan pelan storan iCloud serta servis lain boleh dibayar melalui bil telekomunikasi. Kaedah pembayaran ini untuk di Malaysia disokong oleh empat syarikat telekomunikasi sahaja iaitu Maxis, Celcom, U Mobile dan DiGi. Jenis pembayaran ini ialah salah satu cara yang mudah untuk pengguna melanggan dan membayar kandungan diinginkan.

Setiap pembelian yang dibuat memerlukan kod pengesahan yang dihantar ke nombor telefon anda yang ditetapkan dan nilai transaksi pembelian yang dilakukan akan dimasukkan ke dalam bil bulanan pascabayar atau kredit prabayar bakal ditolak. Ikuti langkah di bawah untuk menukar kaedah pembayaran akaun Apple ID kepada bil telekomunikasi ini:

1. Pergi ke:

– iOS 10.2 dan ke bawah: App Store > akaun Apple ID > View Apple ID.

– iOS 10.3 dan ke atas: App Store > gambar ikon Apple ID > Apple ID.

2. Masuk ke bahagian:

– iOS 10.2 dan ke bawah: Payment Information.

– iOS 10.3 dan ke atas: Manage Payments > Add Payment Method.

3. Pilih tetapan pembayaran ‘Mobile Phone’ dan dibawah pada ‘PHONE NUMBER’, anda boleh menggunakan nombor telefon yang ditetapkan pada akaun Apple ID anda ataupun menggunakan nombor telefon lain mengikut syarikat telekomunikasi yang menyokong ciri pembayaran ini.

Had transaksi dan pembayaran

Setiap pembelian dan traksaksi mempunyai had yang ditetapkan, berikut ialah syarat dan had yang ditetapkan mengikut syarikat telekomunikasi masing-masing:

1. U Mobile

– pelan pascabayar (postpaid)

Bagi akaun pascabayar, jika proses pembelian ketika itu anda telah melanggani pelan pascabayar pada waktu yang kurang daripada 30 hari, anda hanya layak untuk membuat pembelian sehingga RM100.00 sahaja. Untuk langganan penuh selama 31 hari atau lebih, anda boleh membuat pembelian selagi:

  1. caj pelan pascabayar anda (samada dibilkan atau tidak) tidak mencapai had kredit. Caj bayaran tambahan perlu dibayar jika pembelian melebih had kredit yang dibenarkan.
  2. pembelian anda tidak melebihi:
    1. RM300.00 setiap transaksi
    2. had nilai RM1,000.00 pada setiap bulan. Had bulanan ini merujuk kepada pembelian anda bermula dari hari pertama hingga hari terakhir bulan tersebut. Had bulanan ini mungkin ditukar dari semasa ke semasa.

– pelan prabayar (prepaid)

Bagi akaun prabayar, tiada had bulanan untuk pembelian anda. Anda boleh membuat pembelian selagi baki kredit mencukupi dalam akaun prepaid anda. Namun, anda hanya boleh membuat pembelian sebanyak RM300.00 untuk setiap transaksi.

2. Digi

Tiada had pembelian untuk pengguna prabayar. Pengguna pascabayar mempunyai nilai had bulanan sebanyak RM500.00.

3. Celcom

Mempunyai had pembelian bulanan tetapi tidak dinyatakan jumlahnya. Had pembelian akan ditetapkan semula pada setiap hari permulaan bulan.

4. Maxis dan Hotlink

Tidak dinyatakan.

#Pengguna prabayar disarankan mempunyai jumlah baki yang mencukupi sebelum membuat sebarang pembelian. Ini adalah untuk mengelakkan daripada nombor telefon anda dihalang digunakan akibat bebanan hutang yang meningkat. Bagi pembayaran iCloud, baki setiap bulan perlu mencukupi untuk ditolak secara automatik.


Penukaran kaedah pembayaran ini juga boleh dilakukan melalui:

– (iOS 10 dan ke atas) bahagian Settings > akaun Apple ID anda (bahagian atas sekali) > Payment & Shipping.

– perisian iTunes :- Buka aplikasi iTunes pada komputer anda > Apps/Music (bahagian Menu) > App Store > QUICK LINKS > masukkan kata laluan > Payment Information > Manage Payment.

– buka laman web Apple appleid.apple.com > daftar masuk akaun Apple ID anda > Payment and shipping > Edit.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen