Apple iCloud Info

Alamat E-mel: Apple ID vs iCloud vs Penyelamat


Alamat e-mel ialah merupakan identiti kepada akaun yang digunakan untuk pelbagai cara. Membuat pendaftaran bagi sesuatu akaun bagi servis pihak ketiga memerlukan sebuah alamat e-mel yang berdaftar. Dalam ekosistem Apple yang mewujudkan persekitaran serba mudah, satu alamat e-mel sahaja sahaja diperlukan untuk mendaftar akaun Apple ID bagi menguruskan kesemua servis dan perkidmatan Apple.

Namun, terdapat segelintir pengguna yang masih keliru akan penggunaan Apple ID ini. Seperti contoh, bermula dari iOS 5 hingga ke iOS 10.2, panel iCloud ditempatkan pada bahagian tersendiri di dalam aplikasi Settings. Ada segelintir pengguna yang pernah saya jumpa berpendapat secara ‘logik akal’ bahawa iCloud ini perlu didaftar masuk menggunakan alamat e-mel @icloud.com disebabkan terma ‘iCloud’.

Aplikasi Settings pada iOS 5.

Berdasarkan pemikiran ‘logik akal’ di atas, ini akan menyebabkan proses ketika mengeset semula (reset) peranti menjadi sukar. Misalnya, peranti tersebut akan tersekat pada bahagian pengaktifan dan seterusnya mengaktifkan ‘Activation Lock’ disebabkan tidak dapat menyahaktifkan Find My iPhone kerana tidak mengingati alamat e-mel atau kata laluan akaun Apple ID/iCloud yang digunakan. Sudah tentu peranti tersebut akan dijadikan sebagai penyendal pintu atau pemberat kertas. Ini adalah kisah benar terjadi beberapa tahun yang lepas.

Untuk memperbetulkan ideologi yang salah ini, di bawah ialah tafsil mengenai penggunaan alamat e-mel kepada akaun Apple ID, iCloud dan penyelamat.

1. Alamat E-mel Apple ID

Untuk mendaftar akaun Apple ID, anda memerlukan satu akaun e-mel yang beralamatkan seperti Gmail, Yahoo Mail, iCloud dan sebagainya. Alamat e-mel ini kemudian akan digunakan sebagai identiti untuk akaun Apple ID ketika mendaftar masuk sesuatu servis atau perkhidmatan milik Apple. Ini termasuklah digunakan ketika menyediakan peranti baharu dan juga pada iCloud, App Store serta iTunes Store dan Apple Music.

Alamat e-mel kepada akaun Apple ID ini boleh ditukar kepada alamat e-mel yang lain termasuklah @icloud.com. Penukaran ini mestilah menggunakan alamat e-mel yang belum pernah digunakan untuk mendaftar atau telah digunakan sebagai Apple ID. Penggunaan Apple ID ini ialah tidak terhad dan boleh digunakan pada kesemua peranti milik anda (sebelum ini satu akaun Apple ID hanya terhad didaftar masuk pada 10 peranti Apple sahaja).

Harus dimaklumkan bahawa kata laluan untuk alamat e-mel anda dan akaun Apple ID ini tidak perlu sama tetapi anda mestilah mengingati kedua-dua kata laluan tersebut. Sekiranya anda terlupa kata laluan Apple ID, e-mel akan dihantar terus kepada akaun alamat e-mel yang digunakan (ketika mendaftar Apple ID) untuk mengeset semula kata laluan Apple ID.

2. Alamat E-mel iCloud

Alamat e-mel yang mempunyai dan beralamatkan @icloud.com ialah merupakan servis perkhidmatan e-mel bagi akaun Apple ID yang dibangun dan dikawal selia oleh pihak Apple sendiri. Setiap pemilik Apple ID layak dan boleh mendaftar alamat e-mel @icloud.com secara percuma melalui bahagian Settings. Pengguna juga boleh mendaftar alamat e-mel iCloud ketika pendaftaran Apple ID yang juga boleh digunakan sebagai Apple ID.

Jika anda mendaftar e-mel iCloud menggunakan panel Mail pada iCloud dalam Settings, alamat e-mel iCloud berfungsi sebagai alias kepada Apple ID dan juga boleh digunakan untuk menghantar dan menerima e-mel sama seperti e-mel pihak ketiga yang lain. Penggunaan alias ini membolehkan anda untuk untuk mendaftar masuk ke laman web icloud.com bagi menggantikan alamat e-mel Apple ID disebabkan kedua-dua kata laluan adalah sama ditetapkan.

Ya, alamat e-mel @icloud.com boleh dijadikan sebagai Apple ID. Namun, sekiranya anda terlupa kata laluan, anda tidak boleh mengeset semula menggunakan pautan dihantar pada e-mel. Ini kerana, e-mel mengeset semula akan dihantar ke peti masuk akaun alamat e-mel tersebut. Seperti contoh, jika akaun Apple ID anda ialah ‘[email protected]’, pautan mengeset semula akan dihantar ke peti masuk alamat e-mel Gmail tersebut dan bukan pada alamat e-mel iCloud.

Bagi yang menggunakan alamat e-mel ‘[email protected]’ dibuat ketika pendaftaran Apple ID sebagai Apple ID, pautan mengeset semula akan dihantar kepada peti masuk alamat e-mel iCloud tersebut. Jika anda terlupa kata laluan kepada akaun Apple ID (iaitu e-mel iCloud) yang digunakan dan mempunyai satu peranti sahaja, anda juga tidak boleh mengakses alamat e-mel iCloud bagi melakukan proses mengeset semula kata laluan menggunakan pautan (bagi yang tidak menambah nombor telefon pada Apple ID).

Jika nombor telefon ditambah pada akaun anda, pengesahan nombor telefon akan diminta bagi proses mengeset semula kata laluan alamat e-mel iCloud.

Bagi yang membuat pendaftaran akaun alamat e-mel iCloud menggunakan akaun Apple ID sedia ada (mendaftar menggunakan panel Mail dalam Settings), e-mel pautan mengeset semula akan dihantar ke alamat e-mel kepada akaun Apple ID.

Jika anda ingin mengeset semula, anda perlu menggunakan cara lain iaitu dengan menjawab soalan sekuriti. Oleh sebab itu, penggunaan alamat e-mel @icloud.com ini disarankan untuk perkhidmatan e-mel sahaja dan tidak digunakan sebagai Apple ID.

3. Alamat E-mel Penyelamat (Rescue email atau Alternate Email)

Tidak semua mengetahui fungsinya untuk Apple ID. Ini kerana, alamat e-mel penyelamat ini hanyalah saranan untuk dimasukkan pada Apple ID anda. Alamat e-mel penyelamat ini berfungsi sekiranya alamat e-mel untuk Apple ID tidak dapat diakses dan terlupa akan jawapan bagi soalan sekuriti ketika mengeset semula kata laluan Apple ID.

Pada asalnya, alamat e-mel penyelamat ini lebih dikenali sebagai alamat e-mel alternatif (alternate email) bagi pengguna veteran Apple. Penukaran ini bermula dari tahun 2015 dengan perubahan antaramuka  baharu pada laman web appleid.apple.com. Diharap tidak ada pengguna yang keliru dengan terma baharu ini, kedua-duanya adalah sama.

Sebagai langkah keselamatan, alamat e-mel penyelamat ini adalah disaran sama sekali untuk dimasukkan pada bahagian sekuriti Apple ID. Ini adalah untuk memastikan supaya akaun Apple ID anda senantiasa boleh diakses dan diselamatkan melalui pelbagai cara. Semua akaun alamat e-mel milik anda boleh digunakan sebagai e-mel penyelamat ini.

Pastikan juga anda mengingati kata laluan kepada akaun alamat e-mel penyelamat yang digunakan. Ianya sangat berguna ketika anda menghadapi masalah untuk mengakses Apple ID. Untuk menambah alamat e-mel penyelamat ini pada Apple ID, anda boleh mengikuti tutorial ini.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen