Berita iCloud

Laman Web iCloud Dikemas Kini Dengan Antaramuka Baharu


Apple hari ini telah mengemas kini laman web iCloud pada icloud.com dengan paparan antaramuka yang baharu. Sebelum ini, laman web iCloud mula diuji dengan peringkat beta selama sebulan bermula dari 23 Ogos yang lepas.

Paparan antaramuka yang baharu ini tidaklah mempunyai perubahan yang ketara. Rekaan latar belakang kini menggunakan warna putih sahaja berbanding latar belakang terdahulu yang mempunyai animasi bergerak. Dengan ini, ia akan memberikan pengalaman mengakses ke halaman yang lebih cepat dan pantas.

Ikon aplikasi juga masih tiada perubahan seperti aplikasi Mail, Contacts, Calendar, Photos, iCloud Drive, Notes, Pages, Numbers, Keynote, Find Friends, and Find iPhone. Aplikasi Settings telah dibuang dan digantikan dengan bahagian “Account Settings >”. Namun, salah satu kemudahan iaitu Launchpad juga telah dibuang. Launchpad ini berfungsi untuk pergi kembali ke halaman utama dengan menekan ikon itu sahaja pada bahagian judul menu sebelah kiri atas.

Terdapat juga aplikasi Reminders yang baharu dengan berfungsi sebagai pencerminan (mirroring) kepada aplikasi Reminders yang terdapat pada iOS bagi membolehkan pengguna untuk melihat, membuat, dan mengurus tugasan yang diciptakan. Pada versi mudah alih pula, bahagian judul menu tidak boleh diakses selain tidak mengaktifkan tema gelap jika menggunakan mod gelap pada iOS 13 atau macOS Mojave.

Buat masa ini, Apple masih lagi belum mengemas kini aplikasi Find iPhone dan Find Friends yang telah disatukan dalam aplikasi Find My pada laman web iCloud yang baharu ini. Mungkin akan hadir bersama kemas kini iOS 13.1 kelak.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen