Info iPhone

Sejauh Manakah Ketahanan Panel Kaca Pada Model iPhone 11


Sewaktu acara khas berlangsung dan melalui laman web Newsroom, Apple telah mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaan kaca yang terdapat pada ketiga-tiga model iPhone baharu pada tahun ini. Menurut Apple, panel kaca pada iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max mempunyai ketahanan yang sukar untuk pecah dan retak yang terdapat pada telefon pintar.

Bagi mengesahkan kenyataan di atas, beberapa ujian telah dilakukan mengikut permukaan, ketinggian, dan cara ujian tersebut dilakukan. Setiap 4 ujian di bawah ini mempunyai hasil dan keputusan yang berbeza dan tersendiri. Bermula dengan ujian jatuhan oleh YouTuber EverythingApplePro, memperlihatkan keputusan yang agak tepat berdasarkan kenyataan oleh Apple tersebut.

Setelah hampir 8 jatuhan dilakukan daripada pelbagai sudut dan ketinggian, kedua-dua iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max tidak mempunyai sebarang keretakan kaca. Apabila dijatuhkan pada ketinggian 3 meter lebih, bingkai iPhone mula menunjukkan kerosakan dan kecacatan kosmetik tetapi panel kaca masih kukuh.

Kemudian, jatuhan kali kedua pada ketinggian yang sama dilakukan. Impak daripada jatuhan tersebut telah meretakkan pada panel kaca hadapan iPhone 11 Pro dan panel kaca belakang iPhone 11 Pro Max. Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Berbeza dengan ujian jatuhan iPhone 11 dan iPhone 11 Pro yang dilakukan oleh laman CNET, kedua-dua bahagian panel kaca hadapan dan belakang tidak menunjukkan sebarang keretakan apabila dijatuhkan daripada pelbagai ketinggian. Namun, impak jatuhan tersebut telah menyebabkan komponen kamera tidak berfungsi seperti biasa dan piksel yang rosak pada bahagian skrin.

Bagi ujian jatuhan yang dikongsikan oleh Tom’s Guide dan PhoneBuff, menujukkan hasil dan keputusan yang berbeza berbanding kedua-dua ujian dilakukan di atas. Ujian menggunakan iPhone 11 Pro oleh laman Tom’s Guide dilakukan di luar bangunan bagi memberi simulasi keadaan jatuhan pada permukaan konkrit. Jatuhan pada ketinggian 1 meter telah menunjukkan keretakan pada bahagian skrin hadapan dan beberapa garisan retak halus bermula dari bahagian atas skrin sehingga bahagian bawah.

Jatuhan kedua dilakukan dengan panel baca belakang dihadapkan ke permukaan dan hasilnya, tiada keretakan. Namun, jatuhan pada ketinggian bahu dibuat dan memperlihatkan panel kaca belakang mempunyai keretakan termasuklah kerosakan yang lebih teruk pada bahagian skrin hadapan.

Bagi ujian oleh PhoneBuff pula, iPhone 11 Pro Max diuji bersama dengan Galaxy Note 10+. Kedua-dua telefon mempunyai persaingan yang cukup hebat termasuklah dari segi ketahanan dan kekuatan. Dijatuhkan pada ketinggian 1 meter menggunakan mesin, keputusan ujian pertama menunjukkan keretakan hampir sepenuhnya pada panel kaca belakang iPhone 11 Pro Max manakala Galaxy Note 10+ menujukkan keretakan yang minimum.

Jatuhan yang kedua dibuat dengan bahagian sisi kedua-dua telefon dihadapkan. Bingkai keluli tahan karat iPhone 11 Pro Max tidak menujukkan kecacatan yang serius berbanding bingkai aluminium Note 10+. Pada jatuhan kali ketiga, bahagian skrin kedua-dua telefon tersebut retak sepenuhnya.

Sudah tentu, kesemua ujian jatuhan ini dilakukan bagi menguji ketahanan dan kekuatan telefon bagi pengguna yang tidak menggunakan kerangka pelindung. Setiap hasil dan keputusan jatuhan adalah tidak sama dan bergantung pada nasib pemilik, permukaan, ketinggian dan cara bagaimana iPhone tersebut telah jatuh.

Untuk pengguna yang sayang akan iPhone mereka, anda adalah disarankan untuk membeli dan menggunakan kerangka pelindung pada iPhone anda.

Gambar utama: PhoneBuff


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen