Berita tvOS

Apple Mengeluarkan Kemas Kini tvOS 13 Untuk Apple TV


Apple telah mengeluarkan kemas kini baharu bagi sistem operasi untuk peranti Apple TV iaitu tvOS 13. Kemas kini ditawarkan bersama-sama sistem operasi iOS 13.1 dan iPadOS 13.1. tvOS 13 baharu ini tersedia untuk model Apple TV generasi ke-4 dan ke-5. Proses kemas kini boleh dibuat melalui Settings > System -> Software Update.

Terdapat beberapa ciri dan fungsi baharu yang ditawarkan dalam kemas kini tvOS 13 ini. Halaman utama Apple TV telah dikemas kini dengan rekaan paparan yang baharu bagi memudahkan pengguna untuk mengakses kandungan yang ingin ditonton. Pengguna juga boleh menonton video pra-tonton pada skrin penuh melalui halaman utama.

tvOS 13 juga membolehkan sokongan multi-pengguna bagi satu peranti Apple TV. Kemudahan untuk menukar akaun antara ahli keluarga membolehkan setiap orang mempunyai kandungan tersendiri dan tidak mengganggu pengalaman ketika menggunakan dan menonton kandungan pada Apple TV.

Sama seperti iOS 13 dan iPadOS 13.1, tvOS juga menambahkan sokongan alat kawalan jauh Xbox One S dan PlayStation DualShock 4 bagi memainkan permainan. Ciri baharu ini juga boleh digunakan pada langganan permainan Apple Arcade yang berharga sebanyak RM19.90 sebulan.

Selain itu, penggunaan Apple Music juga telah ditambah baik. Dengan sokongan multi-pengguna, kandungan Apple Music boleh dimainkan mengikut pemilik akaun masing-masing. Terdapat juga latar belakang bergerak yang baharu atas hasil kerjasama dengan BBC Natural History Unit.

tvOS 13 memberikan pengalaman yang baharu untuk peranti televisyen. Pengguna Apple TV adalah disarankan untuk mengemas kini sistem operasi tvOS 13 baharu ini.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen