Info iPhone

iPhone 11 Dan iPhone 11 Pro Akan Memaparkan Notifikasi Jika Menggunakan Skrin Yang Bukan Tulen


Apple menerusi dokumen sokongan yang diterbitkan telah menyatakan, ketiga-tiga model iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max boleh mengenal pasti sekiranya jurubaiki yang membuat penggantian skrin tidak menggunakan bahagian atau komponen yang bukan tulen atau yang disahkan dan diedarkan oleh Apple.

Bermula dari iOS 13.1, pengenalpastian tersebut akan mempaparkan mesej notifikasi seperti di bawah. Mesej notifikasi akan dipaparkan pada bahagian Lockscreen selama 4 hari manakala tempoh 15 hari dipaparkan pada halaman utama Settings selepas penggantian skrin yang bukan tulen dibuat. Selepas kedua-dua tempoh tamat, notifkasi akan kekal dipaparkan pada bahagian Settings > General > About iPhone anda.

“Unable to verify this iPhone has a genuine Apple display”

Terdapat juga mesej notifikasi tambahan seperti: “Apple has updated the device information for this iPhone”. Ini bermaksud Apple akan menyimpan rekod setiap pembaikan atau penggantian yang dilakukan pada iPhone anda. Sebagai contoh, bagi memudahkan proses pembaikan akan datang jika dibuat melalui Apple termasuklah analisa keselamatan. Buat masa ini, kedua-dua notifikasi di atas tidak menjejaskan penggunaan atau paparan skrin iPhone anda tetapi agak menjengkelkan.

Menurut Apple, jurubaiki yang telah melengkapkan latihan perkhidmatan Apple dan bertauliah serta yang menggunakan bahagian dan komponen tulen sahaja yang boleh membuat penggantian skrin iPhone. Penggantian skrin atau komponen yang tidak dilakukan melalui Apple, Penyedia Perkhidmatan Berdaftar Apple atau jurubaiki bertauliah berkemungkinan tidak mengikuti prosedur yang betul, boleh menyebabkan masalah penggunaan dan kualiti skrin termasuklah keselamatan.

Menurut Apple lagi, skrin iPhone yang tulen direka dan dihasilkan mengikut piawaian serta kualiti yang terjaga. Ini adalah untuk memastikan fungsi seperti responsif Multi-Touch, kecerahan, ketepatan warna, keseimbangan warna putih dan ciri seperti True Tone, Night Shift, dan Haptic Touch boleh digunakan dengan tetapan yang betul.

Apple mengesyorkan untuk membuat sebarang pembaikan atau penggantian komponen iPhone anda melalui Penyedia Perkhidmatan Berdaftar Apple (Apple Authorized Service Provider/”AASP”)  di tempat anda.

Selain itu, Apple juga telah mengemas kini dokumen sokongan bagi penggantian bateri yang bukan tulen untuk iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max termasuklah model iPhone 2018 lepas. Sama seperti mesej notifikasi di atas, penggantian bateri yang bukan tulen akan menyebabkan kandungan maklumat kesihatan bateri tidak boleh dipaparkan melalui Settings > Battery > Battery Health.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen