Khabar Angin

Kuo: Model iPhone 2020 Akan Menggunakan Rekaan Kelompang Seperti iPhone 4


Selepas sahaja model iPhone 11 yang dilancarkan dan mula dijual secara rasmi pada awal bulan ini, penganalisis terkemuka, Ming-Chi Kuo telah mengeluarkan kenyataan baharu beliau hari ini mengenai model iPhone 2020 tahun hadapan. Berdasarkan kenyataan beliau bersama TF International Securities, Kuo berkata Apple akan melakukan perubahan drastik bagi reka bentuk luaran model iPhone 2020.

Menurut beliau, iPhone tahun hadapan akan mempunyai reka bentuk pada kelompang berbongkah atau berkotak yang seakan seperti iPhone 4 sebelum ini. Bingkai iPhone 4 mempunyai reka bentuk seperti bongkah atau ‘bar coklat’ dan dua keping kaca dengan getah bezel di sekeliling bagi melindungi skrin yang seperti dilekatkan pada kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

Reka bentuk bingkai berbongkah ini boleh dilihat seperti yang terdapat pada model iPad Pro 2018 lepas. Pada bahagian skrin hadapan pula, ia seakan seperti melekat secara terus ke dalam kelompang dan tidak menampakkan getah bezel di sekeliling bahagian luaran skrin.

Menurut Kuo, rekaan iPhone tahun hadapan dari segi binaan kaca masih mempunyai lengkung pada semua bahagian sisi. Model iPhone 11 misalnya mempunyai reka bentuk melengkung pada bahagian bingkai dan bahagian kaca yang melengkapkan sebuah lengkungan pada keseluruhan bahagian luaran iPhone. Tidak dipastikan bagaimana untuk Apple mengadaptasikan reka bentuk bingkai berbongkai dan kaca melengkung seperti ini.

Sebelum ini, Kuo menyatakan model iPhone 2020 akan mempunyai pilihan saiz skrin yang baharu. Beliau mempercayai, Apple bakal menawarkan iPhone berharga premium dengan paparan skrin OLED bersaiz skrin 5.4-inci dan 6.7-inci, manakala saiz 6.1-inci untuk model asas yang juga menggunakan paparan skrin OLED. Bagi kedua-dua iPhone premium tersebut akan mempunyai kamera 3D pada bahagian belakang dengan sokongan realiti terimbuh (AR) dan penambahbaikan penggunaan kamera.

Beliau juga mempercayai faktor reka bentuk baharu ini dengan sokongan 5G akan membantu dan meningkatkan hasil penjualan model iPhone tahun hadapan. Modem 5G yang akan digunakan ialah yang dibangunkan oleh Qualcomm dan tidak menggunakan modem buatan sendiri berdasarkan pengambilalihan perniagaan modem telefon pintar Intel. Sebaliknya, Apple mungkin akan mencubanya pada model Apple Watch atau peranti lain.

Sumber artikel: MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen