Acara Khas Apple watchOS

Apple watchOS 7 Membawakan Ciri Penjejakan Pola Tidur Dan Pengesanan Cucian Tangan


Dengan pembentangan sistem operasi baharu pada acara WWDC diadakan secara maya, Apple juga turut memperkenalkan kemas kini untuk peranti jam pintar mereka. Apple watchOS 7 telah diperkenalkan kepada umum yang membawakan beberapa ciri dan fungsi utama yang baharu untuk pengguna Apple Watch.

Dengan watchOS 7, ia membolehkan perkongsian muka jam yang digunakan berdasarkan aktiviti dan cara hidup bagi memudahkan penggunaan harian antara pengguna. Oleh itu, muka jam boleh dikongsikan kepada pelanggan atau antara pengguna dengan menggunakan pautan muat turun. Jumlah penggunaan aktiviti ditawarkan oleh aplikasi juga boleh ditambah pada muka jam dan tidak lagi terhad kepada satu sahaja.

 

Pengguna yang memakai Apple Watch ketika tidur kini boleh menggunakannya untuk menjejak cara dan pola tidur. Melalui ciri ini, pengguna boleh melihat kualiti tidur, kenyenyakan tidur dan juga sebarang pergerakan. Ini adalah untuk membantu pengguna mahu mendapatkan waktu tidur yang mencukupi.

Ketika wabak Covid-19 yang masih belum reda, Apple mengambil pendekatan ini dengan memperkenalkan ciri pengesanan cucian tangan pada watchOS 7. Ketika pengguna membasuh tangan, Apple Watch boleh mengesan aktiviti ini secara automatik dan seterusnya memulakan kiraan 20 saat bagi melengkapkan cucian tangan tersebut dengan betul seperti mana yang disarankan.

Selain itu, aplikasi Workout juga menerima aktiviti kecergasan baru yang menyokong dan berasaskan pergerakan badan. Pada masa yang sama, aplikasi Activity pada iPhone telah direka semula kepada penjenamaan aplikasi Fitness bagi membantu pengguna untuk mengikuti ringkasan aktiviti kecergasan mereka.

watchOS 7 ini bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan September ini dan ia bakal ditawarkan kepada pengguna Apple Watch yang bermula dari Series 3 dan ke atas.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen