Acara Khas Apple Apple Watch

Apple Watch Series 6 Diperkenalkan Dengan Ciri Pemantau Kadar Oksigen Dalam Darah


Sewaktu acara khas Apple berlangsung, Apple telah memperkenalkan generasi baharu bagi peranti mereka. Antaranya ialah siri jam tangan pintar mereka iaitu Apple Watch Series 6 telah diperkenalkan kepada umum yang membawakan salah satu ciri pemantau kesihatan utama secara terus ke tangan pengguna.

Apple Watch Series 6 ini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu biru dan merah bagi edisi (PRODUCT)RED. Rekaan kerangka luaran masih dikekalkan daripada rekaan Series 4 dan termasuklah pilihan saiz skrin 40mm dan 44mm.

Buat pertama kalinya, pengguna boleh memeriksa tahap kadar oksigen dalam darah (SpO2) dengan hanya menggunakan Apple Watch Series 6 ini. Ciri ini menggunakan algoritma tersendiri bersama-sama pencahayaan LED pada belakang Apple Watch. Aplikasi Blood Oxygen baharu diperkenalkan bagi memantau kadar oksigen daripada 70% hingga 100%.

Dijanakan dengan cip pemprosesan Apple S6 berasaskan cip Apple A13 Bionic yang telah dioptimasikan bagi penggunaan jam tangan pintar. Menurut Apple, pembukaan aplikasi dan penambahbaikan kini 20% lebih pantas berbanding sebelum ini.

Selain itu, skrin Apple Watch Series 6 juga telah ditambah baik dengan lebih cerah apabila dibawah cahaya matahari. Ciri altimeter terbina juga ditambah baik yang sentiasa aktif bagi mendapatkan maklumat dengan lebih tepat.

Dengan watchOS 7, sejumlah ciri baharu telah diperkenalkan khas untuk Apple Watch Series 6 ini. Ini termasuklah muka jam yang direka khas mengikut warna kerangka luaran dan juga mengikut gaya hidup si pemakai. Apple juga turut memperkenalkan tali jam Solo Loop dimana pengguna tidak lagi perlu menghubungkan dua tali sewaktu memakainya, menjadikan ia lebih selesa dan mudah untuk ditanggalkan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen