Apple Watch

Apple Mengumumkan Model Apple Watch Unity Edisi Khas Bersempena Bulan Black History

Bersempena dengan bulan Black History bulan hadapan, Apple pada hari ini telah memperkenalkan beberapa servis dan produk baharu yang berkaitan dengan komuniti, budaya dan sejarah orang kulit hitam. Ini adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya sebuah nilai saksama antara semua manusia walaupun berbeza warna kulit masing-masing. Antara produk yang diperkenalkan ialah model Apple Watch Series 6 edisi khas, tali jam dan muka jam yang baharu.

Diinspirasi daripada bendera Pan-Afrika, warna hijau, hitam dan merah memberikan maksud yang mendalam mengenai apa yang dialami oleh orang kulit hitam di seluruh dunia dari dahulu hinggalah sekarang. Apple Watch Series 6 edisi khas ini mempunyai rekaan dan warna kelompang aluminium berwarna hitam dengan cetakan laser ‘Black Unity’ pada bahagian belakang. Sama seperti model Series 6 yang lain, Apple Watch Black Unity Collection ini dijual harga RM1,749 bagi versi Wi-Fi dan RM2,199 ke atas untuk versi selular.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan tali jam ‘Black Unity Sport’ hasil campuran tiga warna yang dipasang sendiri menggunakan tangan. Pada bahagian dalam pin pengancing, terdapat ukiran perkataan ‘Truth. Power. Solidarity’. Pengguna juga boleh membelinya secara asing dengan harga RM199 melalui laman jualan dalam talian rasmi Apple Store Malaysia.

Bagi pengguna Apple Watch sedia ada, anda boleh muat turun kemas kini watchOS 7.3 untuk mendapatkan muka jam Unity ini. Apple juga turut memperkenalkan cabaran aktiviti Unity dengan melengkapkan gegelung Move selama 7 hari dalam bulan Februari bagi mendapatkan pingat edisi khas ini. Kedua-dua Apple Watch dan tali jam boleh dibeli secara rasmi di Malaysia bermula hari ini.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen