Acara Khas Apple iPhone

Siri iPhone 12 Pro Dan iPhone 12 Pro Max Dilancarkan – Kamera Dengan Sensor LiDAR Bermula Dari RM4899

Dalam acara khas yang berlangsung pada hari ini, Apple telah memperkenalkan barisan siri iPhone 12 kepada umum. Bermula dari model iPhone 12 dan iPhone 12 mini yang boleh dikatakan sebagai model asas dalam siri ini, kini Apple melancarkan pula model iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max kepada umum.

Kedua-dua model premium ini hadir dengan rekaan berasaskan berbongkah dengan permukaan rata sama seperti rekaan model iPhone 12 dan iPhone 12 mini yang dilancarkan sebelum ini. Oleh dengan harganya yang juga premium, kemasan iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max ialah diperbuat daripada bahan keluli tahan karat berbanding bahan aluminium untuk model asas siri iPhone 12 ini.

iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max masih mengekalkan rekaan penggunaan tri-kamera utama dan kini dilengkapi dengan sensor LiDAR. Sama seperti yang terdapat pada model iPad Pro, sensor ini secara langsung menambahkan lagi penambahbaikan dan pengalaman realiti terimbuh yang lebih realistik.

Sensor LiDAR ini juga membantu dalam mengoptimasikan keadaan pencahayaan ketika menangkap gambar atau merakam video. Tri-kamera ini juga menyokong rakaman video HDR dengan Dolby Vision termasuklah penambahbaikan Night Mode yang kini menyokong TrueDepth dan lensa ultra lebar untuk gambar yang lebih cerah.

Sama seperti model iPhone 12 dan iPhone 12 mini, kedua-dua model premium ini mempunyai  skrin hadapan yang dilengkapi dengan kaca pelindung seramik yang dikatakan boleh menahan kesan hentakan akibat jatuh atau hempap. Sistem pengecasan nirwayar berasaskan magnet MagSafe juga boleh digunakan namun setiap pakej kotak bagi siri model iPhone 12 ini tidak lagi disertakan pengecas dan fon telinga bersamanya. Pengguna hanya ditawarkan sebuah kabel Lightning kepada USB-C di dalam kotak dan perlu membeli pengecas USB-C sekurangnya 20W untuk mengecas peranti ini dengan lebih pantas.

Model iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max ini ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu kelabu, putih, emas dan biru ‘Pacific Blue’. Pengguna boleh mendapatkan iPhone 12 Pro ini bermula dari RM4899 bagi storan 128GB sehingga RM6299 bagi storan 512GB. Untuk iPhone 12 Pro Max dijual pada harga bermula dari RM5299 bagi storan 128GB sehingga RM6699 bagi storan 512GB.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen