iPad

Apple iPad Mini dan iPad Generasi Ke-9 Baharu Kini Dijual Secara Rasmi Di Malaysia


Dilancarkan pada bulan lepas, Apple iPad mini baharu dan iPad generasi kesembilan kini sudah mula dijual secara rasmi di Malaysia bermula hari ini. Pembelian boleh dibuat melalui laman jualan rasmi Apple Store Malaysia. Penghantaran iPad mini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 1-2 minggu manakala Apple iPad seawal minggu hadapan.

Bagi yang ingin dapatkan secara terus melalui cawangan pengedar rasmi Apple, anda perlu menunggu pengumuman daripada mereka.

Setelah sekian lama tidak dikemas kini, Apple iPad mini dengan generasi keenam ini hadir dengan rekaan yang serba baharu. Sama seperti model iPad Air dan iPad Pro, rekaan sisi kelompang luaran kini hadir dengan permukaan rata termasuklah pada bahagian belakang. Pada bahagian hadapan pula, dilengkapi skrin bersaiz 8.3-inci Liquid Retina dengan kecerahan 500 nits, True Tone dan salutan anti-reflektif termasuklah bezel nipis.

Touch ID masih dikekalkan termasuklah penambahan sokongan Apple Pencil generasi kedua secara magnetik sememangnya ciri yang berguna. iPad mini generasi keenam ini dijana dengan cip pemprosesan A15 Bionic sama seperti model iPhone 13 dan penggunaan port pengecas USB-C termasuklah pengecasan pantas 20W. Ia sememangnya model iPad pilihan ramai dengan saiz kompak dan ringan.

Bagi yang berminat, iPad mini ini dijual bermula dari RM2,299 untuk versi Wi-Fi pada storan 64GB. Versi selular dengan storan 64GB pula dijual pada harga RM2,949. Pengguna boleh memilih storan sehingga 256GB dengan lima pilihan warna iaitu space grey, ungu, starlight dan merah jambu.

iPad generasi kesembilan ini masih mengekalkan rekaan yang sama tetapi spesifikasi dalaman telah dikemas kini. Ia kini dijana dengan cip Apple A13 Bionic menjadikan penggunaan aplikasi dan permainan adalah lebih stabil dan berjalan dengan lancar. Apple Pencil generasi pertama juga boleh digunakan dan kamera 12 megapiksel Ultra Wide pada bahagian hadapan dengan Center Stage.

Bagi yang berminat, iPad generasi kesembilan ditawarkan dengan dua pilihan storan iaitu 64GB dan 256GB. Ia mula dijual pada harga RM1,499 untuk versi Wi-Fi dan RM2,119 untuk versi selular mengikut tetapan storan pilihan masing-masing. Tiada lagi pilihan storan 32GB.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen