Acara Khas Apple iPad

Apple iPad Dikemas Kini Dengan Cip A13 Bionic, Kamera Centre Stage Dan True Tone


Dalam acara khas yang berlangsung pada hari ini, Apple juga telah mengumumkan kemas kini bagi model asas iPad bersaiz 10.2-inci generasi yang kesembilan kepada umum. Masih mengekalkan rekaan yang sama seperti sebelum ini termasuklah sistem pengimbas cap jari Touch ID, terdapat beberapa penambahbaikan dari segi spesifkasi dalaman.

Apple iPad baharu kini dijana dengan cip Apple A13 Bionic menjadikan ia 20 peratus lebih pantas daripada model yang sebelum ini. Dengan ini, penggunaan aplikasi dan permainan adalah lebih stabil dan berjalan dengan lancar menjadikan ia sebagai model iPad yang mampu milik berkuasa tinggi.

Kamera hadapan pula kini mempunyai kamera 12 megapiksel Ultra Wide dengan ciri Neural Engine. Ini membolehkan ciri seperti Center Stage diaktifkan secara automatik apabila ia mengesan pergerakan individu mahupun berkumpulan ketika membuat panggilan video.

Skrin Apple iPad juga ditambah baik dengan ciri True Tone yang membolehkan tona warna paparan skrin diubah mengikut keadaan cahaya persekitaran. Ciri True Tone pada Apple iPad ini akan memberikan pengalaman dan keselesaan pada mata pengguna ketika menggunakannya.

Bagi yang berminat, Apple iPad ditawarkan dengan dua pilihan storan iaitu 64GB dan 256GB. Ia mula dijual pada harga RM1,499 untuk versi Wi-Fi dan RM2,119 untuk versi selular mengikut tetapan storan pilihan masing-masing.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen